Neymar tidak sabar capai angka 100

SINGAPURA, 10 OKT – Menjelang penampilan antarabangsa ke-100 buat dirinya, penyerang Brazil, Neymar bercakap mengenai komitmennya terhadap negara dan kelabnya, Paris Saint-Germain.

Brazil berdepan Senegal hari ini dalam satu perlawanan persahabatan di Singapura dan persekutuan Brazil menyerahkan Neymar dengan satu jersi istimewa dengan nombor 100.

“Saya gembira bersama pasukan kebangsaan dan begitu juga kelab saya,” kata Neymar, yang cuba meninggalkan Paris dan kembali ke Barcelona pada musim panas.

“Semua orang tahu apa yang terjadi semasa jendela perpindahan lepas, itu kemahuan saya pada awalnya, tetapi hari ini saya gembira dan selesa bersama kelab saya.

“Musim bermula dengan baik untuk saya. Saya akan mempertahankan kelab dengan segala-galanya,” kata pemain berusia 27 tahun itu, yang bergelut dengan kecederaan kaki semasa berada di Paris.

Neymar (tengah) semasa menjalani sesi latihan bersama rakan sepasukannya di Singapura. – AFP

“Saya akan memberikan 100 peratus agar kami dapat melakukan perkara-perkara hebat.”

Jersi disampaikan oleh Bebeto, penyerang yang bermain sebanyak 75 kali bersama Brazil, membuat dua penampilan di final Piala Dunia, dan memenangi yang pertama pada 1994.

“Saya gembira untuk mencapai angka ini. Keputusan semua adalah positif, bahkan kehidupan sebagai pemain bola sepak tidak semuanya mengenai menang. Terdapat juga banyak kekecewaan, kekalahan. Anda melakukan banyak kesilapan,” jelas Neymar.

Neymar sudah menjaringkan 61 gol dalam 99 perlawanan buat Brazil, menjadikannya penjaring ketiga terbanyak dalam sejarah pasukan kebangsaan.

Dia berada satu gol di belakang Ronaldo namun memerlukan 16 gol lagi bagi menyaingi Pele.

Dia memenangi pingat emas Olimpik di Rio de Janeiro pada tahun 2016 tetapi mempunyai banyak pengalaman mengecewakan, terutamanya di Piala Dunia.

Pada tahun 2014, di Brazil, satu kecederaan belakang pada peringkat suku akhir menentang Colombia telah menghalangnya daripada berada di atas padang dalam kekalahan 7-1 saingan separuh akhir menentang Jerman.- AFP