NFABD alu-alukan pendapat dan pandangan orang ramai

Oleh Fadhil Yunus

BANDAR SERI BEGAWAN, 16 APRIL – Persatuan Bola sepak Kebangsaan Brunei Darussalam (NFABD) meng-alu-alukan pendapat atau pandangan orang ramai mengenai bagaimana untuk memastikan bola sepak terus aktif di di tengah-tengah penularan wabak COVID-19 di negara ini.

Pandemik tersebut telah memberikan kesan yang besar kepada sukan bola sepak di seluruh dunia dengan penggantungan perlawanan dan sesi latihan dalam liga antarabangsa manakala kelab-kelab domestik pula masih dahagakan aksi kompetitif.

Berbagai-bagai isu mula timbul disebabkan oleh penggantungan aktiviti sukan dalam tempoh yang panjang dengan mengkaji semula gaji pemain serta berita pemotongan gaji yang semakin meluas dalam dunia bola sepak di seluruh dunia.

Menurut sumber NFABD, FIFA baru-baru ini mendedahkan bahawa ia adalah tugas ‘badan bola sepak’ untuk merancang bagaimana untuk mengatasi impak kewangan berpunca daripada pandemik itu.

Badan pengurusan bola sepak kebangsaan menambah bahawa mereka berminat untuk mencontohi pelan untuk memastikan bola sepak berterusan dan berkekalan di negara ini. Presiden NFABD, Pengiran Haji Matusin bin Pengiran Haji Matasan turut memberi nasihat kepada pihak berkepentingan termasuk ahli-ahli komiti eksekutif untuk memberikan cadangan mereka masing-masing.

Beliau berkata, “Kita perlu memastikan kebajikan ahli-ahli kita dan pemain-pemain bola sepak kita terjaga.”

Negara ini turut mengambil langkah sama dengan seluruh dunia iaitu dengan menggantungkan Liga Super Brunei sejak 13 Mac sementara kejohanan bola sepak yang lain turut digantungkan sehingga notis pemberitahuan dibuat.