NFABD bakal miliki pusat teknikal baharu

Oleh Fadhil Yunus

BANDAR SERI BEGAWAN, 7 MEI – Persatuan Bolasepak Kebangsaan Brunei Darussalam (NFABD) membuat satu langkah signifikan dalam memastikan kualiti infrastruktur bola sepak berikutan pembinaan pusat teknikal baharu dan grandstan mini yang bakal selesai pembinaannya pada hujung tahun ini.

Acara penandatanganan perjanjian antara NFABD dan W.L.W Developer & Trading Sdn Bhd diadakan di Business Marketing Commercial Centre (BMCC), Kolej IGS, Kiulap, kelmarin.

Pusat teknikal dan grandstan mini baharu tersebut merupakan projek FIFA Forward 1.0 dan 2.0, yang dijangka menelan kos sebanyak AS$3 juta.

NFABD diwakili oleh Presiden NFABD, Pengiran Haji Matusin bin Pengiran Haji Matasan dan Pengurus Besarnya, Mohamad Shahnon bin Mohd Salleh.

Sementara W.L.W Developer & Trading Sdn Bhd diwakili oleh Ketua Pengarah, Wong Let Woon, selaku kontraktor dan Gemilang Latif Associates Principal Mahri Latif sebagai konsultan.

Pengiran Haji Matusin dan Wong Let Woon semasa majlis penandatanganan tersebut, baru-baru ini.

Presiden NFABD berkata, “Kami berharap untuk melihat bangunan tersebut siap sebelum hujung tahun ini. Syarikat W.L.W sangat yakin bahawa bangunan tersebut mampu disiapkan dalam tempoh masa enam bulan.”

Beliau turut menambah, “Kami akan memanfaatkan sepenuhnya dengan berusaha keras dan fokus kepada bagaimana untuk mengejar dan melaksanakan projek ini.

“Saya sudah dimaklumkan bahawa FIFA cukup kagum dengan cara kami menyediakan segala dokumen dan bersikap telus.”

FIFA juga mengiktiraf usaha presiden NFABD dan pasukannya terutama kualiti pelaksanaan. Pengurus Pembangunan Pejabat Serantau FIFA, Lavin Vignesh berkata melalui persidangan video, “Di bawah kepimpinan Pengiran Haji Matusin, mereka telah pergi lebih jauh. Kualiti pelaksanaan adalah sangat baik.”

Koordinator Pembangunan Pejabat Serantau FIFA, Niko Nhouvannasak turut menyaksikan penandatanganan tersebut melalui persidangan video.

Grandstan tersebut akan memuatkan kira-kira 650 tempat duduk dan mempunyai ciri-ciri untuk mengadakan perlawanan antarabangsa seperti bilik persalinan yang mencukupi, bilik perubatan, bilik doping, bilik pengadil, sebuah bilik VIP, tempat letak kereta dan kemudahan kecemasan.

Pengiran Haji Matusin turut berkata, “Kami berharap dapat menganjurkan bukan sahaja perlawanan tempatan malahan perlawanan antarabangsa pada masa akan datang. Dengan stadium negara ketika ini dalam proses pengubahsuaian, kami merasakan ini adalah alternatif baik untuk menempatkan peminat-peminat kami.”