NFABD bakal miliki pusat teknikal, mini grandstand

Oleh Ak Zaki Kasharan

BANDAR SERI BEGAWAN, 26 NOV – Persatuan Bolasepak Kebangsaan Brunei Darussalam (NFABD) dan Gemilang Latif Associates telah memeterai kerjasama bagi FIFA Forward melalui penandantangan perjanjian bagi pembinaan pusat teknikal dan mini grandstand yang akan ditempatkan di perkarangan Bangunan NFABD.

Majlis penandatanganan yang berlangsung di Rumah NFABD hari ini dihadiri oleh Presiden NFABD, Pengiran Haji Matusin bin Pengiran Haji Matasan. Turut hadir bagi menyaksikan majlis penandatanganan tersebut ialah Timbalan Setiausaha Tetap (Kebeliaan dan Kesukanan) di Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan, Kolonel (B) Pengiran Haji Maiddin bin Pengiran Haji Said.

Pembinaan kedua-dua kemudahan tersebut adalah sebahagian daripada program FIFA Forward Development, yang bertujuan untuk menyediakan fasiliti pertumbuhan dan pembangunan bola sepak di negara-negara anggota FIFA dan konfederasi.

Menandatangani bagi pihak NFABD ialah Pengiran Haji Matusin bersama Setiausaha Agung NFABD, Awang Mohammad Shahnon Haji Mohd Salleh sebagai saksi.

Sementara itu menandatangani bagi pihak Gemilang Latif Associates ialah Awang Mahri bin Haji Latif dan disaksikan oleh Haji Zariful bin Haji Mohammad.

Pusat teknikal ini diharapkan dapat membantu bola sepak tanah air untuk memiliki pengaturan sistematik teknikal yang lebih rapi serta mengatur latihan dengan lebih baik dan program lainnya.

Manakala mini grandstand adalah untuk membolehkan NFABD menganjurkan lebih banyak acara seperti kejohanan bola sepak di kawasan sendiri.

Dengan anggaran perbelanjaan sebanyak AS$2.1 juta, pusat teknikal dan mini grandstand tersebut dijangkakan selesai pada bulan Disember 2021 depan.

Majlis menandatangani perjanjian bagi pembinaan pusat teknikal dan mini grandstand yang berlangusng di Rumah NFABD.