NFABD rancang mulakan semula Liga Bola Sepak Brunei

Oleh James Kon

BANDAR SERI BEGAWAN, 11 JUN – NFABD sedang menyusun rancangan protokol COVID-19 untuk menjalankan semula perlawanan bola sepak di negara ini dan akan menyampaikan perincian protokol tersebut kepada pihak berkuasa relevan di negara ini.

Langkah harapan untuk memulakan semula Liga Bola Sepak Brunei telah didedahkan oleh Presiden Persatuan Bola Sepak Kebangsaan Negara Brunei Darussalam (NFABD), Pengiran Matusin Matasan petang tadi semasa majlis Doa Kesyukuran untuk tajaan yang baharu diterima daripada UEFA dan AFC.

“Kami bernasib baik kerana sebilangan rakan kami seperti Vietnam, Korea, Jerman dan Eropah di mana liga bola sepak mereka telah kembali semula dan kami berharap dapat melakukan hal yang sama,” menurut Pengiran Matusin.

Namun, beliau menambah “kami sangat memahami usaha kerajaan yang ingin memastikan bahawa kami benar-benar mengikuti protokol COVID-19 dan ingin membantu kerajaan dalam mengikuti setiap arahan yang diberikan terutama dalam melakukan penjarakan sosial dan lain-lain garis panduan seperti kebersihan diri dengan mencuci tangan dan menggunakan pensanitasi tangan.”

Beliau memetik ucapan presiden FIFA dengan berkata “bola sepak adalah satu perkara tetapi kesihatan adalah yang paling penting. Oleh itu kami mahu melakukan perkara yang sama,” jelas Pengiran Matusin Matasan.

“Kami ingin mengembalikan bola sepak ke negara ini tetapi dalam masa yang sama kami ingin memastikan bahawa kami selamat daripada COVID-19.

“Kami telah membuat persediaan dokumen yang ingin kami serahkan kepada pihak berwajib. Ini adalah protokol terperinci untuk memulakan semula bola sepak. Sekiranya kita mematuhi garis panduan yang telah kita sediakan, saya kira bola sepak bola sepak kita harus dapat dikekalkan dan diteruskan.

“Kami sedang menunggu peluang untuk bertemu Yang Berhormat Menteri Kesihatan dan Yang Berhormat Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan. Kami berharap perkara ini dapat dilakukan tidak lama lagi. Kami mempunyai sebilangan pasukan yang ingin kembali bermain bola sepak tetapi kami tidak mahu meneruskan tanpa mendapat lampu hijau daripada pihak berkuasa,“ tambahnya.