NFABD tarik diri

Oleh Ak Zaki Kasharan

BANDAR SERI BEGAWAN, 19 FEB – Persatuan Bolasepak Kebangsaan Negara Brunei Darussalam (NFABD) telah membuat perancangan untuk menghantar pasukan kebangsaan belia bawah 18 tahun bagi menyertai Kejohanan Bolasepak JENESYS di Jepun yang akan bermula pada 24 Februari nanti.

Walau bagaimanapun setelah mengambil kira nasihat dan perhatian daripada pihak-pihak yang tertentu; melalui Jabatan Perdana Menteri, Kedutaan Jepun di Brunei Darussalam, Kedutaan Brunei Darussalam di Jepun, Kementerian Kesihatan, Kementerian Pendidikan; dan mengambil kira pengunduran Kelab Bolasepak DPMM dalam beberapa perlawanan kejohanan Liga Perdana Singapura; serta keperluan pemain-pemain dan pegawai-pegawai pasukan yang perlu di kuarantin setelah kembali ke Negara Brunei Darussalam, dengan ini dimaklumkan bahawa NFABD telah mengambil ketetapan untuk menarik diri daripada kejohanan berkenaan atas dasar-dasar kebajikan dan kesihatan pegawai-pegawai pasukan, terutamanya pemain-pemain serta hal ehwal pembelajaran pemain-pemain yang akan terjejas.

NFABD amat prihatin akan kepentingan kesihatan pemain, terutamanya warganegara Brunei Darussalam. Untuk sebarang makluman lanjut, orang ramai bolehlah menghubungi pihak persatuan.