Oleh Hasrulraizan
BANDAR SERI BEGAWAN, 13 April – DST terus memberikan sokongan padunya kepada penganjuran liga bola sepak tempatan apabila hari ini mengesahkan komitmennya sebagai penaja utama Piala Sumbangsih, Liga Super, Liga Perdana dan Piala FA anjuran Persatuan Bola Sepak Kebangsaan Negara Brunei Darussalam (NFABD).
Majlis Penandatanganan Tajaan antara NFABD dengan DST bagi penganjuran Piala Sumbangsih DST 2017, Liga Super DST 2017, Liga Perdana DST 2017 dan Piala FA DST 2017 berkenaan telah berlangsung hari ini di NFABD House, dengan disaksikan oleh Ketua Pegawai Eksekutif DST, Awang Suhaimi Hussain.
Menandatangani bagi pihak DST ialah Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif DST, Haji Marsad bin Haji Ismail dan Penolong Pengurus Besar Kumpulan Perhubungan Korporat DST, Awang Radin Sufri bin Radin Basiuni.
Sementara NFABD diwakili oleh Pemangku Timbalan Presidennya, Haji Madli bin Mohd Yusuf dan Setiausaha Agungnya, Haji Abdul Hamid bin Dato Paduka Haji Abdullah.
Kini sudah mencecah lebih 10 tahun DST menaja bola sepak Brunei Darussalam. Sehubungan dengan itu Haji Madli mengambil kesempatan untuk menyatakan rasa gembira dan penghargaan NFABD di atas sokongan berterusan berkenaan.

“Ini membuktikan betapa DST sangat ambil peduli dengan kemajuan bola sepak tanah air sehingga sentiasa ingin membantu mempertingkatkan mutunya ke tahap lebih tinggi,” ujar Haji Madli.
Dalam temu bual media selepas Majlis Penandatanganan Tajaan berkenaan, Haji Madli mendedahkan bahawa liga tahun ini akan menampilkan para jurulatih yang memiliki Lesen B AFC dalam setiap kelab Liga Super DST yang dihasrat akan dapat membantu ke arah peningkatan mutu pertandingan.
Beliau seterusnya mendedahkan bahawa NFABD memiliki banyak perancangan tahun ini, dan salah satu daripadanya yang perlu diketengahkan adalah kejayaan enam orang jurulatih tempatan memiliki Lesen A AFC, yang julung-julung kalinya buat negara ini.
Musim bola sepak Negara Brunei Darussalam bagi 2017 akan bermula pada malam 19 April ini di Stadium Negara Hassanal Bolkiah dengan Piala Sumbangsih DST 2017, pertemuan di antara penyandang gelaran ‘Juara Berganda’: Liga Super DST 2016 dan Piala FA DST 2016, MS ABDB dengan naib juara Liga Super DST 2016, Indera SC.