Friday, April 19, 2024
24 C
Brunei

    -

    NFT tetapkan pemilikan aset digital

    Oleh Nurdiyanah R.

    Perkembangan teknologi benar-benar memberikan impak yang signifikan, mulai dari penggunaan teknologi dalam rutin harian sama ada dalam aspek pendidikan, pekerjaan, perniagaan mahupun gaya hidup.

    Salah satu trend yang kian diminati pada era teknologi masa kini adalah penggunaan sebuah aset digital yang tidak dapat disalin yang dikenali sebagai non-fungible token (NFT).

    Menurut Pemaju Blockchain, Brunei Computer Emergency Response Team (BruCERT), Awang Mohd Haziq bin Haji Mohd Hamzani dan Awang Mohd Safwan bin Ahman ketika berpeluang ditemu bual penulis secara dalam talian, menjelaskan NFT adalah pengenal yang unik yang boleh menetapkan dan membuktikan hak milik aset digital secara kriptografi dengan menggunakan teknologi blockchain.

    “Pereka akan menerbitkan karya mereka ke pasaran NFT melalui proses Minting, proses di mana fail digital ditukar menjadi koleksi kripto ataupun aset digital pada blockchain. Fail digital di sini adalah seperti lukisan digital, muzik atau lagu, video dan lain-lain,” ujar mereka.

    Terdahulu, Awang Mohd Haziq menyatakan adapun teknologi blockchain itu merupakan teknologi lejar teragih yang mengandungi rekod digital yang boleh mencatatkan setiap transaksi secara immutable.

    NFT adalah pengenal yang unik yang boleh menetapkan dan membuktikan hak milik aset digital secara kriptografi dengan menggunakan teknologi blockchain.
    Para pengguna NFT disaran untuk memastikan sama ada dalam seni digital, video, muzik dan sebagainya yang dihasilkan haruslah asli atau karya seni yang telah dibuat sendiri. – Gambar serahan CSB
    Pasaran NFT sangat luas dan banyak antaranya OpenSea, SuperRare, Nifty Gateway, Mintable, Foundation dan Hic et Nunc (HEN). – Gambar serahan CSB

    Ini bermakna, rekod digital tersebut tidak boleh diubah kerana ia akan dikongsikan kepada semua kalangan nod komputer yang ada dalam rangkaian blockchain yang sama.

    Jelasnya, penggunaan teknologi blockchain ada banyak kelebihan tetapi tujuan utama orang ramai melaksanakannya adalah untuk meningkatkan keselamatan data digital.

    Antara aspek keselamatan teknologi ini adalah desentralisasi untuk mewujudkan persekitaran yang trustless dan bebas dari rasuah; ketetapan di mana setiap transaksi yang ditambah di dalam blockchain tidak boleh diubah dan kriptografi asimetri bagi keselamatan data.

    Begitu juga, teknologi berkenaan memiliki lejar teragih di mana setiap nod ataupun komputer yang ada di dalam rangkaian yang sama akan ada salinan lejar yang sama, mekanisme consensus untuk mengesahkan setiap transasksi dan struktur Hashed Merkle Tree iaitu sekiranya ada satu perubahan dalam struktur tersebut, walaupun kecil, ianya akan mengubah keseluruhan hashed data blok tersebut.

    Guna NFT dengan bijak

    Menyentuh mengenai beberapa cara untuk menggunakan NFT dengan bijak, Awang Mohd Safwan menekankan para pengguna NFT untuk memastikan sama ada dalam seni digital, video, muzik dan sebagainya yang dihasilkan haruslah asli atau karya seni yang telah dibuat sendiri. NFT yang telah dihasilkan hendaklah unik dan bukan salinan karya orang lain kerana itu adalah plagiat.

    Tekannya lagi, memilih blockchain dan pasaran yang betul untuk menjual NFT awda adalah penting. Dalam hal ini, perkara yang perlu dipertimbangkan semasa memilih jenis blockchain dan pasaran adalah sama ada ia meliputi NFT jenis yuran ‘gas’ dan jejak karbon.

    Pasaran yang berbeza akan mempunyai kos transaksi atau yuran ‘gas’ yang berbeza.

    Kebiasaannya, Tezos, akan mengambil 2.5 peratus daripada penjual NFT maka kos transaksi adalah salah satu perkara yang perlu diberi perhatian apabila memulakan jual beli NFT.

    Awang Mohd Safwan menambah lanjut, NFT itu memiliki dua bahagian utama iaitu aset digital dan butiran pemilikan pintar yang termasuk perincian tentang seni seperti smart contract dan penukar aset digital yang disimpan dalam blockchain.

    Apabila NFT telah dibeli, hak milik akan dipindahkan daripada penjual kepada pembeli serta-merta. Nilai NFT pula boleh menjadi subjektif. Setiap karya seni mempunyai nilai tersendiri.

    “Pasaran NFT adalah sangat luas dan banyak antaranya OpenSea, SuperRare, Nifty Gateway, Mintable, dan Foundation, yang mana ia menggunakan Ethereum blockchain.

    Manakala Hic et Nunc (HEN) menggunakan Tezos blockchain yang mana jenis ini kebanyakannya digunakan oleh masyarakat di negara ini untuk berjual beli NFT,” kongsinya lagi.

    Beliau turut menambah Tezos blockchain menggunakan tenaga yang lebih rendah dan mesra alam sekitar daripada Ethereum. Tezos juga mempunyai kos transaksi yang lebih rendah berbanding dengan Ethereum.

    Faedah penggunaan NFT

    Berbicara mengenai faedah penggunaan NFT, Awang Mohd Haziq menyatakan setakat ini tiada bukti pengubahan wang haram, iaitu proses menukar sejumlah wang besar yang diperoleh daripada aktiviti haram, berlaku dalam komuniti NFT.

    Aktiviti ini boleh dikurangkan lagi dengan menggunakan sistem Kenali Pelanggan Awda (KYC). Walaupun pengubahan wang haram adalah satu kemungkinan, setiap transaksi NFT adalah awam dan boleh diaudit di dalam blockchain di mana ia menyukarkan lagi seseorang yang tidak bertanggungawab untuk melakukannya.

    Ujarnya, terdapat karya seni yang telah diciplak dan dijual sebagai karya mereka sendiri. Masalah ini memang sering berlaku bahkan sebelum wujudnya NFT.

    Perkara ini perlu diberi perhatian kerana ia boleh menjejaskan pemillik asal dan merendahkan nilai asal mereka. Ini kerana ada kekurangan perlindungan dan pengesahan pemilik serta hak cipta sehingga membolehkan berlakunya plagiat secara berterusan dan berleluasa dengan cepat dan juga berpotensi untuk menjejaskan lebih ramai pemilik NFT.

    “Tetapi setiap pasaran ada peraturan tentang hal itu seperti pasaran OpenSea, mereka tidak membenarkan kandungan diplagiat. Jadi, kita perlu berwaspada dalam melindungi karya kita sendiri sambil membantu pemilik NFT lain jika sekiranya karya mereka telah diciplak.

    “Oleh itu, adalah penting untuk menggunakan pasaran NFT yang betul dan sah untuk membeli atau menjual NFT. Perlu diingati juga bahawa tiada NFT yang sah akan wujud dalam laman sesawang palsu.

    “Terdapat beberapa pasaran NFT yang dipercayai yang telah disenaraikan dan salah satu adalah pasaran Tezos. Perkara ini perlu diambil perhatian agar dijauhi dari golongan scammer yang boleh mencuri bukti kelayakan yang telah diserahkan ke laman sesawang palsu seperti seed phrase ke wallet awda,” tekannya di akhir perkongisan dalam talian.

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Polis Australia selesaikan misteri kokain hanyut

    SYDNEY, 18 APRIL - Polis Australia telah menahan seorang lelaki didakwa menjadi dalang di sebalik komplot penyeludupan dadah yang gagal, mengakibatkan batu-bata kokain misteri...