NiAT adakan webinar sempena Hari GIS 2021

Oleh Yusrin Junaidi

BANDAR SERI BEGAWAN, 23 NOV – Network Integrity Assurance Technologies (NiAT) Sdn Bhd, penyedia perkhidmatan satelit, baru-baru ini telah mengadakan webinar sempena Hari Sistem Maklumat Geografi (GIS) Antarabangsa untuk memperkenalkan nama kod platform GIS mereka iaitu OBSERVE.

Menurut kenyataan NiAT, webinar pada 17 November lalu itu diadakan untuk berkongsi perkembangan terkini dan juga menunjukkan beberapa demonstrasi produk platform OBSERVE.

Ahli-ahli panel webinar terdiri daripada Faiz Ya’akub, Fasihah Ahmad Saufi dan Emily Yong serta dikendalikan oleh Achmed Ashley.

Dihadiri hampir 120 peserta daripada sektor kerajaan, minyak dan gas dan akademia, webinar berkenaan mengetengahkan bagaimana teknologi analitis data geospatial moden yang digunakan dalam platform OBSERVE boleh digunakan untuk menjana, menerbitkan dan berkongsi maklumat hampir masa sebenar di seluruh organisasi mereka.

Sistem berkenaan dijadualkan dilancarkan di negara ini.

Kenyataan menjelaskan, platform OBSERVE direka untuk menjadi platform di mana pengguna boleh menerima data langsung secara terbuka atau milik persendirian dan memaparkannya pada papan pemuka yang boleh disesuaikan secara unik mengikut keperluan pengguna.

Platform berkenaan boleh digunakan untuk tujuan perancangan, pemantauan dan pelaporan untuk membolehkan pengguna membuat keputusan yang lebih kritikal atau laporan lebih jelas kerana mereka mempunyai maklumat lebih terperinci dengan mengandungi maklumat yang sedia dikemas kini.

Semasa webinar itu, NiAT juga mengumumkan bahawa bersempena Hari GIS 2021, sekolah-sekolah, universiti dan mana-mana institusi akademik di Brunei dialu-alukan untuk memohon bagi mendapatkan Geran Akademia OBSERVE.

Geran berkenaan akan membolehkan sehingga 50 orang pelajar dalam sebuah institusi pendidikan untuk menerima pas akses percuma kepada platform OBSERVE dengan lesen ArcGIS selama setahun dengan harapan untuk meningkatkan industri teknologi yang terus berkembang di negara ini.