NiAT lancar OBSERVE

BANDAR SERI BEGAWAN, 30 JUN – Sempena Ulang Tahun Angkatan Bersenjata Diraja Brunei (ABDB) ke-58 yang diadakan di Bolkiah Garison, Kementerian Pertahanan, kelmarin, Network Integrity Assurance Technologies Sdn Bhd (NiAT) telah melancarkan produk terbaharunya iaitu OBSERVE.

OBSERVE dengan slogan ‘Sedia untuk Masa Depan’ itu akan merubah cara orang ramai menggunakan data dan imej satelit. Menurut kenyataan NiAT, ia sering menjadi matlamat syarikat untuk melancarkan satelit pertama Brunei dan menjadi pembekal perkhidmatan satelit negara.

Sudah pun ditubuhkan hampir 10 tahun lalu, sekarang ia menjangkakan untuk menjadi perintis dalam industri angkasa Brunei, merebut peluang dalam evolusi teknologi pantas dan mengadaptasi Revolusi Industri ke-4.

NiAT percaya OBSERVE akan merevolusikan cara kita menggunakan dan membayangkan data, untuk meletakkan Brunei dalam peta.

Mereka percaya ia akan berkembang ke arah mencapai Wawasan Brunei 2035 dan membantu negara untuk bersedia pada masa hadapan.

“Kami berharap OBSERVE bukan saja berkhidmat untuk kerajaan namun juga korporat, syarikat swasta atau sektor awam yang memerlukan khidmat perancangan, pembinaan atau infrastruktur dan banyak lagi,” kata Ketua Pegawai Eksekutif NiAT, Lim Ming Soon.

NiAT telah ditubuhkan pada Mei 2010 di bawah usaha kerjasama antara Telekom Brunei Berhad (TelBru) dan TS Global Network Sdn Bhd (Malaysia) untuk menyediakan penyelesaian sambungan komunikasi satelit (VSAT) yang kos efektif, selamat dan pantas bagi lokasi-lokasi maritim, luar bandar dan kawasan terpencil.

Lim Ming Soon bergambar ramai bersama kakitangan NiAT semasa pelancaran OBSERVE di Bolkiah Garison.