Niat, Maxar Technologies kembang industri geospatial Brunei

BANDAR SERI BEGAWAN, 2 SEPT – Network Integrity Assurance Technologies Sdn Bhd (NiAT) telah mengumumkan kolaborasi bersama Maxar Technologies untuk mengembangkan pembangunannya dan mencapai industri geospatial di Brunei.

Menurut kenyataan yang diberikan, kedua-dua buah syarikat berkenaan akan bekerjasama untuk mempromosikan penggunaan imej satelit beresolusi tinggi yang akan memberi manfaat kepada sektor sumber-sumber utama, maritim dan pertahanan.

NiAT menyatakan keterujaan untuk bekerjasama dengan Maxar, sebuah syarikat global yang terkenal dengan pengumpulan imejan satelit beresolusi paling tinggi untuk komersial.

Kenyataan menjelaskan, perkongsian berkenaan akan membolehkan lebih banyak keupayaan pengesanan jarak jauh dan pemantauan bumi tersedia pada platform OBSERVE terutamanya dalam memberikan imejan satelit beresolusi tinggi dan terkini.

OBSERVE adalah platform gabungan data berasaskan web yang inovatif yang telah dilancarkan oleh NiAT.

Platform yang dikuasakan ESRI itu adalah aplikasi geospatial berasaskan web yang membolehkan pembayangan data, analisis ruang, perpustakaan imejan dan analisis, penyebaran maklumat dan perancangan, perlaksanaan dan laporan operasi serta membolehkan pengguna memaparkan data mereka pada peta-peta interaktif sekali gus memberikan gambaran lebih mendalam dan perspektif meluas untuk mencari jawapan-jawapan kepada persoalan dan akhirnya menyediakan penyelesaian sebenar dan hasil.

Menurut kenyataan, Maxar Technologies adalah syarikat ruang angkasa dan risikan yang berpangkalan di Amerika Syarikat yang menggabungkan data satelit dan pembelajaran mesin untuk menghasilkan gambaran boleh laksana mengenai planet ini yang sering berubah.

Ini membolehkan perniagaan-perniagaan komersial dan agensi kerajaan untuk memantau, memahami dan mengemudi dunia dalam cara baharu dan pada skala global.