Thursday, April 25, 2024
26.3 C
Brunei

    -

    Niat puasa Ramadan (sebulan penuh): Pandangan mazhab Syafi’i

    (Dengan nama Allah, Segala puji bagi Allah, Selawat dan salam ke atas Rasulullah, keluarga, sahabat dan para pengikut Baginda)

    Disediakan oleh Jabatan Mufti Kerajaan

    Niat merupakan salah satu rukun dalam ibadat puasa. Tanpa niat seseorang itu tidak dianggap berpuasa, walaupun dia menahan diri daripada perkara-perkara yang membatalkan puasa, seperti makan dan minum. Ini adalah berdasarkan hadis Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam, sebagaimana sabda Baginda yang maksudnya:

    “Hanya amalan-amalan itu dengan niat” (Hadis riwayat al-Bukhari dan Muslim)

    Waktu berniat bermula daripada terbenam matahari, iaitu masuk waktu sembahyang fardu Maghrib hinggalah sebelum terbit fajar shadiq. Oleh itu, bolehlah dilakukan niat puasa pada mana-mana bahagian daripada waktu tersebut, hatta ketika sedang menunaikan sembahyang fardu Maghrib.

    Apabila seseorang itu sudah berniat puasa pada mana-mana bahagian waktu malam, tidak bererti pada lingkungan waktu itu dia mesti menahan diri daripada melakukan perkara-perkara yang membatalkan puasa seperti makan, minum, bersetubuh dan sebagainya. Selama mana perbuatan-perbuatan tersebut dilakukan tidak melewati waktu fajar shadiq, maka perbuatan-perbuatan tersebut tidak membatalkan niat puasanya tadi. Ini adalah berdasarkan firman Allah Ta‘ala yang tafsirnya:

    “Dan makan serta minumlah kamu (pada malam bulan Ramadan itu) sehingga nyata kepada kamu benang putih (cahaya siang) daripada benang hitam (kegelapan malam) iaitu waktu fajar.” (Surah al-Baqarah: 187)

    Berdasarkan ayat di atas, Allah mengharuskan makan dan minum pada malam puasa sehinggalah terbit fajar. Maka jelas, perbuatan makan, minum dan segala perkara yang membatalkan puasa, kecuali murtad, pada malam hari puasa tidak membatalkan niat puasa seseorang.

    Waktu berniat bermula daripada terbenam matahari, iaitu masuk waktu sembahyang fardu Maghrib hinggalah sebelum terbit fajar shadiq. – Agensi

    Berniat puasa setiap malam

    Menurut mazhab Syafi‘i, berniat puasa Ramadan wajib dilakukan pada tiap-tiap malam, kerana ibadat pada setiap hari puasa itu adalah dianggap ibadat yang berasingan di antara satu hari dengan hari yang lain. Sebab itu apabila satu hari puasa itu terbatal, ia tidak membatalkan puasa hari-hari yang terdahulu dan yang akan datang. Oleh itu, tidak memadai satu niat sahaja bagi satu bulan puasa. Ini adalah berdasarkan hadis yang diriwayatkan oleh ‘Aisyah Radhiallahu ‘anha dari Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam yang maksudnya:

    “Barangsiapa yang tidak berniat puasa sebelum terbit fajar shadiq maka tidak ada puasa baginya.” (Hadis riwayat al-Baihaqi dan ad-Daraquthni)

    Niat puasa Ramadan itu sekurang-kurangnya yang maksudnya:

    Ertinya: “Sahaja aku berniat puasa Ramadan”.

    Niat yang lengkap pula ialah:

    Ertinya: “Sahaja aku berniat puasa esok hari menunaikan fardu Ramadan pada tahun ini kerana Allah Ta‘ala.”

    Lupa berniat

    Sebagaimana yang telah dijelaskan, niat puasa itu wajib dilakukan pada tiap-tiap malam. Oleh itu, orang yang terlupa berniat puasa pada mana-mana bahagian waktu malam tidak sah baginya melakukan ibadat puasa dan wajib diqadha hari puasa yang terluput itu pada hari lain di luar bulan Ramadan.

    Bagaimanapun, demi menjaga mashlahat (kepentingan) dan hajah (keperluan) sebagai langkah berhati-hati dan ditakuti terlupa berniat puasa pada malam hari, ulama-ulama mazhab Syafi’i menganjurkan juga berniat puasa dengan bertaqlid kepada mazhab Maliki.

    Dalam perkara ini, Syeikh as-Sharqawi Rahimahullah dalam Hasyiahnya menyebutkan:

    Sekiranya seseorang berniat pada malam pertama Ramadan untuk berpuasa sebulan penuh, adalah tidak memadai selain pada hari pertama itu sahaja. Walau bagaimanapun, hendaklah dia melakukan yang demikian itu (berniat pada malam pertama Ramadan untuk berpuasa sebulan penuh) supaya dia mendapat pahala puasa bulan Ramadan sekiranya dia terlupa untuk berniat pada (setiap malam) sebagaimana mengikut pendapat Imam Malik r.a. – Begitu juga sunat berniat puasa di awal siang hari pada hari dia terlupa berniat bagi mendapatkan pahala puasanya sebagaimana pendapat Imam Abu Hanifah r.a. – Jelasnya, semua perkara yang dinyatakan itu adalah dilakukan dengan cara bertaqlid.

    Pengarang kitab Hasyiah al-Baijuri pula menyebutkan:

    Dan menurut pendapat Imam Malik, sesungguhnya adalah memadai berniat puasa satu bulan penuh Ramadan pada malam pertama daripada bulan Ramadan. Dan bagi orang yang bermazhab Syafi‘i boleh bertaqlid (mengikut) dalam perkara tersebut bagi mengelak supaya dia tidak terlupa berniat pada satu-satu malam yang menyebabkan dia perlu mengqadha’ puasanya.

    Manakala pengarang kitab Busyra al-Karim pula menyatakan adalah sunat bertaqlid dengan mazhab Malik iaitu berniat puasa di malam pertama Ramadan, katanya:

    Dan sunat berniat puasa sebulan penuh Ramadan di malam pertama Ramadan pada pandangan mazhab Malik, kerana niat tersebut memadai bagi keseluruhan bulan Ramadan dan hendaklah bertaqlid dengannya kerana ditakuti terlupa berniat puasa di waktu malam pada sebahagian malam bulan Ramadan.

    Begitu juga Imam Ibnu Hajr al-Haitami Rahimahullah di dalam kitabnya al-Minhaj al-Qawim menyebutkan:

    Maka sekiranya seseorang berniat pada malam pertama bulan Ramadan untuk berpuasa sebulan penuh, yang demikian itu tidaklah memadai kecuali bagi hari pertama (bulan Ramadan) itu sahaja. Walau bagaimanapun, hendaklah dia melakukan yang demikian itu (berniat pada malam pertama bulan Ramadan untuk berpuasa sebulan penuh) supaya dia mendapat pahala puasa bulan Ramadan sekiranya dia terlupa untuk berniat pada sebahagian hari-hari daripada bulan Ramadan menurut pendapat yang mengatakan bahawa yang demikian itu adalah memadai.

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Hingga 160 paus pilot terdampar di Australia, sekurang-kurangnya 26 maut

    MELBOURNE, 25 APRIL - Sehingga 160 ekor paus pilot bersirip panjang terdampar di pantai barat Australia hari ini dan sekurang-kurangnya 26 maut sebelum pihak...