Nicaragua bebaskan 50 tahanan

MANAGUA, 11 JUN – Nicaragua semalam membebaskan 50 tahanan pembangkang di bawah undang-undang baharu kontroversi yang memberikan amnesti kepada pembantah dan polis yang terlibat dalam pemberontakan ke atas Presiden Daniel Ortega pada tahun lalu.

Kementerian Dalam Negeri mengumumkan pembebasan ’50 orang sejajar dengan peruntukan Undang-Undang Amnesti yang diluluskan oleh Perhimpunan Agung’ pada Sabtu.

Negara Amerika Tengah itu dibelenggu krisis pada April 2018 selepas bantahan pembangkang meletus, dan tindakan keras dalam tempoh empat bulan seterusnya oleh tentera Ortega meninggalkan 325 orang terbunuh, 800 dipenjarakan dan beribu-ribu dalam buangan.

Sementara undang-undang baharu menuntut penentang dipenjarakan dibebaskan dengan ‘serta-merta’, ia juga menutup pintu ke atas usaha menyiasat dan menghukum anggota keselamatan yang terbabit dalam kempen menumpaskan bantahan.

Undang-undang amnesti ditolak oleh gabungan yang terdiri daripada 70 kumpulan pembangkang serta pertubuhan hak asasi manusia disebabkan ia menandakan tidak ada sesiapa yang bertanggungjawab atas kematian.

Satu kenyataan oleh kementerian berkata ia sedang bersedia untuk membebaskan lebih ramai tahanan.

Ia berkata mereka yang dibebaskan semalam telah ditahan ‘berhubung jenayah ke atas keselamatan dan ketenteraman awam.’ – AFP

Jonathan Lacayo (kiri), salah seorang daripada 50 tahanan pembangkang yang dibebaskan di bawah undang-undang baharu yang memberikan amnesti kepada pembantah dan polis yang terlibat dalam pemberontakan ke atas Presiden Daniel Ortega pada tahun lalu, memeluk ibunya selepas dibebaskan di rumahnya di Managua kelmarin. – AFP