NICB rai ulang tahun ke-50

Oleh Syahmi Hassan

Gambar oleh Muiz Matdani

BANDAR SERI BEGAWAN, 18 OKT – National Insurance Co Bhd (NICB) meraikan ulang tahunnya yang ke-50 pada majlis sambutan yang berlangsung di Hotel Antarabangsa Rizqun, Gadong, malam hari ini.

Hadir selaku tetamu kehormat majlis sambutan jubli emas syarikat itu ialah Yang Amat Mulia Pengiran Muda Abdul Qawi selaku pengerusi NICB.

Turut hadir ialah Timbalan Pengerusi NICB, Dato Paduka Timothy Ong; Ketua Pegawai Eksekutif Allianz Global Corporate; Specialty SE / Asia Pacific – AGCS, Mark Barry Mitchell dan Pengurus Besar NICB, Klaus Tomalla.

YAM Pengiran Muda Abdul Qawi dalam ucapannya melahirkan rasa bangga melihat syarikat berkembang dan berjaya berdasarkan piawaian profesional tinggi, budaya perkhidmatan pelanggan dan nilai-nilai yang baik.

“Perjalanan kita dalam 50 tahun yang lalu adalah mencabar dan kadang-kadang tidak menentu tetapi kita sentiasa berjaya mengatasi masalah dan merebut peluang baharu.

Pengerusi National Insurance Co Bhd (NICB), YAM Pengiran Muda Abdul Qawi dan Dato Paduka Timothy Ong ketika menghadiri Majlis Makan Malam Ulang Tahun Jubli Emas NICB di Hotel Antarabangsa Rizqun.
YAM Pengiran Muda Abdul Qawi bersama tetamu khas ketika sesi bergambar ramai pada Majlis Makan Malam ke-50 NICB.
YAM Pengiran Muda Abdul Qawi bersama tetamu khas ketika sesi memotong kek sempena jubli emas National Insurance Co Bhd.
Antara yang hadir pada majlis sambutan ulang tahun ke-50 NICB, kelmarin. – Gambar oleh Rahwani Zahari

“Bagi pihak lembaga pengarah, saya ingin menghargai pasukan pengurusan dan kakitangan syarikat, sekarang dan masa lalu, atas komitmen, kerja keras dan dedikasi mereka untuk memberikan kecemerlangan,” ujarnya.

Yang Amat Mulia juga menghargai dan mengucapkan terima kasih kepada Autoriti Monetari Brunei Darussalam (AMBD) dan Persatuan Insurans dan Takaful Brunei (BITA) atas bimbingan dan sumbangan mereka dalam pembangunan industri insurans tempatan.

Terdahulu, Klaus Tomalla dalam ucapan alu-aluannya antara lain mengucapkan terima kasih kepada ahli-ahli lembaga pengerusi atas bimbingan mereka kepada beliau dan pasukannya untuk menjadikan NICB sebagai sebuah syarikat insurans teratas yang berorientasikan pelanggan di Brunei Darussalam.

Majlis diteruskan dengan ucapan Dato Paduka Timothy Ong yang antara lain menyentuh mengenai syarikat berkenaan yang pada 50 tahun dahulu hanya sebuah syarikat yang berdaftar dengan pendaftar syarikat, tiada ejen, tiada pasaran, tiada perniagaan dan kini menjadi syarikat insurans konvensional terkemuka di Brunei dengan banyak pemegang saham Brunei dan dengan insurans global terkemuka di dunia, Allianz sebagai rakan strategiknya.

Majlis tersebut turut menyaksikan YAM Pengiran Muda Abdul Qawi menerima tanda penghargaan daripada Dato Paduka Timothy Ong dan Mark Barry Mitchell. Sementara itu, Klaus Tomalla telah menyampaikan tanda penghargaan kepada Dato Paduka Timothy Ong dan Mark Barry Mitchell.

Di samping itu, majlis juga diisi dengan acara memotong kek sempena ulang tahun ke-50 NICB yang disempurnakan oleh YAM Pengiran Muda Abdul Qawi bersama tetamu-tetamu khas majlis dan diserikan persembahan-persembahan nyanyian sambil para jemputan menikmati jamuan yang disediakan.