Nickelodeon bakal bina taman tema dalam air

MANILA, 10 Jan – Rangkaian televisyen kanak-kanak Amerika, Nickelodeon telah mengumumkan ia akan membina taman tema dan resort dalam air di sebuah pulau yang dikenali sebagai perbatasan ekologi terakhir Filipina, satu berita yang mencemaskan pencinta alam sekitar.

Firma di sebalik filem SpongeBob SquarePants dan Dora the Explorer itu berkata taman yang akan dibina di Pulau Palawan itu akan menjadi sebahagian daripada pembangunan bawah laut seluas 400 hektar (1,000 ekar) yang mempamerkan hidupan marin yang akan memberi para peminatnya satu peluang untuk ‘berinteraksi dengan jenama dan karakter ikonik yang mereka sukai’.

Palawan dipilih bagi pembangunan itu kerana ia ‘dikenali memiliki beberapa pantai paling cantik di dunia hari ini,” kata Ron Johnson, naib presiden eksekutif bersama Rangkaian Media Antarabangsa Viacom, yang memiliki Nickelodeon, berkata dalam satu kenyataan yang di e-mel kepada AFP hari ini.

Kenyataan awal Viacom mengumumkan projek itu pada Isnin berkata resort itu akan dibuka pada tahun 2020 dan bercirikan restoran dan lobi enam meter (20 kaki) bawah paras laut.

Pembangunan itu akan ‘menyokong perlindungan lautan’ dan memulihara terumbu karang, menurut kenyataan tersebut.

Namun kumpulan pencinta alam sekitar Greenpeace berkata ia akan memusnahkan kawasan ekosistem marin yang terkenal di dunia itu.

“Ia mendukacitakan dan mencemaskan kerana taman tema sebesar itu tidak akan mempromosikan perlindungan alam sekitar dengan membina struktur sebegitu,” Vince Cinches dari Greenpeace Asia Tenggara memberitahu AFP. – AFP