Nicola akur bersara demi kesihatan

LONDON, 6 NOV – Juara dua kali tinju wanita Sukan Olimpik, Nicola Adams (gambar bawah) dengan rasa kesal mengumumkan persaraannya disebabkan bimbang dengan tahap penglihatannya, pemain Britain itu berkata hari ini.

Nicola, 37, peninju pertama Britain meraih kejuaraan pada Kejohanan Tinju Wanita di London pada tahun 2012 itu juga memenangi pingat Olimpik 2012 dan 2016, berkata dia berasa bangga dengan apa yang dicapainya sehinggakan menjejaskan kesihatannya.

Dia menulis surat terbuka kepada Yorkshire Evening Post, hari ini menyatakan bahawa dia terpaksa memutuskan untuk bersara berikutan dengan saranan doktor yang memberinya peringatan terhadap situasi yang dihadapinya itu.

“Saya dinasihatkan sebarang impak tambahan terhadap mata saya akan mengakibatkan kerosakan sukar untuk diperbaiki dan hilang penglihatan secara kekal,” katanya yang meraih gelaran flyweight WBO pada Julai lalu.

“Saya benar-benar terasa mendapat penghormatan dapat mewakili negara saya, memenangi dua pingat emas Olimpik diikuti tali pinggang kejuaraan WBO yang melengkapkan impian menjadi kenyataan.

“Meski meraih kejayaan yang boleh dibanggakan, bagaimanapun, semua itu turut menjejaskan tubuh badan saya kerana saya telah dinasihati oleh doktor agar menjaga kesihatan terutama terhadap penglihatan mata saya,” jelasnya.

“Menggantung sarung tinju saya adalah keputusan sukar tetapi saya tidak pernah berasa lebih bernasib baik dari itu dan saya bangga dengan tahap dicapai oleh sukan itu.”

Nicola telah menamatkan karier profesionalnya dengan rekod tanpa kalah dengan lima kemenangan dan satu seri. – AFP