Nicole Kidman teruk dikecam warganet

Aktres Australia, Nicole Kidman mencetuskan kemarahan penduduk tempatan di Hong Kong kerana dikecualikan menjalani kuarantin COVID-19 di negara itu untuk menjalankan penggambaran Siri Amazon, Expats.

Menurut HK01, Nicole menaiki jet peribadi dari Sydney ke Hong Kong pada 12 Ogos dan dikecualikan daripada kuarantin selama tujuh hari di bandar tersebut bagi individu yang telah divaksinasi tiba dari Australia. Untuk maklumat, Australia kini mengalami kes varian Delta yang sedang menular dan merekodkan jumlah ter-tinggi 633 kes baru setiap hari.

Biro Pembangunan Ekonomi dan Perdagangan Hong Kong mengesahkan aktres Australia dan kru penggambaran diberikan pelepasan kuarantin atas dasar “meneruskan kerja profesional yang ditentukan”.

Dipetik The Hong Kong Press, aktres ini juga dilihat keluar dan membeli-belah di Hong Kong pada minggu lalu dan menjadi perbincangan dalam tabloid tempatan.

“Sahabat dan keluarga #Hong Kong yang terhormat, ketika anda terkurung di bilik hotel selama tiga minggu, bagaimana rasanya mengetahui bahawa jika anda berasal dari Hollywood, anda dikecualikan dari peraturan kuarantin yang dikenakan oleh penduduk HK?” kongsi tweet dari akaun twitter @debhk.

“Saya mahu tukar nama ibu saya kepada Nicole Kidman dan menghasilkan filem berjudul ‘My Mum Visits Hong Kong’.” kongsi tweet yang lain dari akaun twitter @webhk.

Ini bukanlah kontroversi kuarantin pertama yang dicetuskan oleh Nicole. Pada Jun 2020, beliau dan suaminya, Keith Urban menerima kritikan kerana dikecualikan kuarantin hotel di New South Wales Australia selepas mereka terbang ke Sydney dari Amerika Syarikat kerana penggambaran mini-siri Nine Perfect Strangers. – Agensi

Nicole Kidman mencetuskan kemarahan penduduk tempatan di Hong Kong kerana dikecualikan menjalani kuarantin COVID-19 di negara itu. – Agensi