Oleh Ak Zaki Kasharan
BANDAR SERI BEGAWAN, 24 FEB – National Institute of Education (NIE), Nanyang Technological University (NTU), Singapura bakal membukakan permohonan Program Kedoktoran dalam Pendidikan (EdD) bagi pengambilan Januari 2023 mulai 1 April depan.
Orang ramai yang berminat untuk memohon program berkenaan boleh melayari laman sesawang institusi berkenaan.
Menurut kenyataan yang dikeluarkan, NIE, Singapura ialah sebuah institut berautonomi di bawah NTU. Ia telah disenaraikan secara konsisten dalam kalangan 20 institusi pendidikan terbaik di dunia dan tiga teratas di Asia oleh kedudukan Quacquarelli Symonds (QS).
Salah seorang graduan Program EdD berkenaan, Dr Saravanan s/o G Sathiyaseelan telah berkongsi pengalamannya mengikuti pengajian di NIE.
Walaupun menjadi pakar penerbangan selama bertahun-tahun, Dr Saravanan mempunyai semangat yang kuat dalam bidang pendidikan. Beliau mula mengajar di beberapa buah politeknik di Singapura sebagai pengalaman pertamanya dalam bidang pendidikan.
Untuk mendalami lagi topik mengenai kepimpinan dan dasar pendidikan, Dr Saravanan memutuskan untuk mengikuti program EdD di NIE.
Dr Saravanan tertarik dengan program EdD kerana ia membolehkan beliau mene-rokai topik yang dekat dengan jiwanya, sambil memperoleh perspektif baharu dan unik serta autonomi untuk wacana bagi meluaskan pengetahuannya.
Memandangkan Program EdD memerlukan disertasi penyelidikan praktik, Dr Saravanan berpeluang menjalankan kajian kualitatif tentang profil dan peranan pentadbir dalam sektor pendidikan tinggi, serta kaitan dengan kebolehan kepimpinan mereka.
Walaupun pelajar pasca siswazah dijangka menjadi pelajar berdikari, Dr Saravanan merasakan bahawa di NIE, pelajar sentiasa berada di tangan yang baik kerana mereka dibimbing dengan baik oleh kakitangan akademik.
“Di NIE, saya berasa bermotivasi untuk belajar daripada semua orang (fakulti dan rakan sebaya). Terdapat banyak sumber untuk merangsang pemikiran dan terdapat rangka kerja yang sangat baik untuk membimbing pelajar dalam perjalanan mereka,” Dr Saravanan dipetik berkata.
Bagaimanapun, usaha Dr Saravanan untuk mendapatkan pendidikan siswazah bukanlah tanpa cabaran.
Sebagai pelajar sambilan, beliau terpaksa menyesuaikan diri dengan komitmen keluarga dan kerjaya sepenuh masa, sambil mengekalkan matlamat akademiknya.
Beliau turut bergantung pada senaman dan meditasi untuk menguruskan tekanannya dan dengan sokongan keluarga, beliau dapat melengkapkan program tersebut.
“Saya memberi tumpuan kepada hasil dan objektif penyelidikan yang membolehkan saya menyiapkan semua projek dan tugasan tepat pada masanya.
Saya sangat proaktif dalam mengambil alih perjalanan pembelajaran saya,” ujarnya.
Dr Saravanan mendapati pengalamannya dalam NIE “bermakna, memperkaya dan memuaskan” kerana ia telah memberi kesan positif kepada pemikirannya, memuaskan keinginannya untuk memperoleh pengetahuan dan menerapkan budaya pembelajaran sepanjang hayat dalam dirinya.