Thursday, April 25, 2024
29.9 C
Brunei

    -

    Nigeria buka kilang penapisan minyak utama

    ABUJA, 23 MEI — Presiden Nigeria, Muhammadu Buhari kelmarin merasmikan pembukaan sebuah loji minyak yang dikatakan sebagai kilang penapisan minyak terbesar di Afrika, selepas bertahun-tahun tergendala dan seminggu sebelum beliau meletak jawatan.

    Dibina oleh orang terkaya di Afrika, Aliko Dangote di hab komersial Lagos, kilang penapisan itu sepatutnya mula beroperasi pada bulan Jun dengan produk pertama dijangka berada di pasaran menjelang Ogos walaupun beberapa penganalisis berkata mungkin berlaku kemudian.

    Apabila mencapai kapasiti penuh, ia akan mempunyai keupayaan untuk memproses 650,000 tong minyak sehari, menurut syarikat itu.

    Buhari, yang akan berundur pada 29 Mei selepas lapan tahun memegang jawatan, menyifatkan projek itu sebagai ‘pencapaian penting’ dan ‘pengubah senario’ untuk pasaran produk petroleum hiliran, bukan sahaja di Nigeria tetapi untuk seluruh benua Afrika’.

    Presiden Ghana, Niger, Togo, Senegal dan wakil pemimpin Chad hadir pada perasmian itu.
    Kilang penapisan itu dijangka dapat memenuhi permintaan domestik Nigeria serta memasuki pasaran global, kata Dangote.

    Buhari (kiri), melancarkan plak peringatan untuk merasmikan Kilang Penapisan Petroleum dan Petrokimia Dangote di Lagos, baru-baru ini. – AFP

    “Apabila kilang kami beroperasi sepenuhnya, kami menjangkakan bahawa sekurang-kurangnya 40 peratus daripada kapasiti itu akan tersedia untuk dieksport,” kata Dangote.

    Selama berpuluh-puluh tahun, negara paling ramai penduduk di Afrika dan salah satu pengeluar minyak mentah terbesar di benua itu telah bergantung kepada import bahan api untuk memenuhi permintaan tempatan kerana kilang penapisan yang dikendalikan oleh kerajaan adalah kurang berprestasi.

    Nigeria mendagangkan minyak mentah bernilai berbilion dolar untuk petrol yang kemudiannya diberikan subsidi untuk pasaran domestiknya.

    Ia telah menyebabkan lonjakan besar pada pertukaran mata wang asing pada masa pendapatan minyak yang semakin berkurangan berikutan pandemik coronavirus dan perang Rusia-Ukraine.– AFP

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Hingga 160 paus pilot terdampar di Australia, sekurang-kurangnya 26 maut

    MELBOURNE, 25 APRIL - Sehingga 160 ekor paus pilot bersirip panjang terdampar di pantai barat Australia hari ini dan sekurang-kurangnya 26 maut sebelum pihak...