Nikah di rumah dibenarkan mulai 3 ogos

BANDAR SERI BEGAWAN, 27 JULAI – Permohonan kebenaran untuk melangsungkan majlis akad nikah di rumah masing-masing atau tempat-tempat lain mulai 3 Ogos ini adalah dibolehkan dengan mematuhi syarat-syarat garis panduan perkumpulan ramai tahap kedua yang telah dikeluarkan oleh Kementerian Kesihatan.

Menurut kenyataan daripada Pejabat Perkahwinan, Penceraian, Pembatalan dan Rujuk Orang Islam, Mahkamah-mahkamah Syariah Negara Brunei Darussalam, di sini, ketetapan bagi melangsungkan majlis akad nikah di pejabat Mahkamah-mahkamah Syariah yang bertarikh 24 Mac 2020 adalah dimansuhkan mulai 3 Ogos ini.

Sehubungan dengan itu, mana-mana permohonan kebenaran untuk berkahwin yang telah didaftarkan sebelum tarikh berkenaan dan akan melangsungkan majlis akad nikah di pejabat Mahkamah-mahkamah Syariah adalah diberi pilihan sama ada ingin meneruskan majlis akad nikah di pejabat Mahkamah-mahkamah Syariah atau di kediaman masing-masing atau tempat-tempat lain.

Bagi mana-mana pemohon yang berhasrat untuk mengubah tarikh atau tempat melangsungkan majlis akad nikah yang sudah ditetapkan dikehendaki hadir ke Pejabat Perkahwinan, Penceraian, Pembatalan dan Rujuk Orang Islam, di mana permohonan kebenaran untuk berkahwin telah didaftarkan.

Mulai 3 Ogos ini, permohonan melangsungkan majlis akad nikah di rumah masing-masing atau tempat-tempat lain adalah dibenarkan dengan mematuhi garis panduan yang telah ditetapkan. – Gambar fail Bernama