Oleh Salawati Haji Yahya
BANDAR SERI BEGAWAN, 29 Sept – Selaku rakyat dan penduduk negara ini, hendaklah sentiasa menjaga keamanan dan kesejahteraan yang dinikmati sebaik-baiknya.
Ingatlah jika lalai dan leka atau tidak mensyukuri atas nikmat Allah, tidak mustahil nikmat ini akan hilang bila-bila masa saja kerana nikmat tersebut hanya pinjaman semata-mata.
Khatib dalam Khutbah Jumaatnya hari ini menjelaskan, adalah menjadi kewajipan untuk sentiasa mensyukuri dan mengharapkan nikmat Allah ini sentiasa berkekalan.
“Dalam untuk mengekalkan nikmat keamanan, kesejahteraan dan kemakmuran yang dikurniakan Allah itu, sesebuah negara perlu berusaha gigih dengan mewujudkan pemerintahan yang mantap dan jentera kerajaan yang cekap dan berkesan.
“Ini memerlukan pemimpin yang berwibawa, bijaksana dan sentiasa berfikiran jauh untuk kemajuan dan kemakmuran negara,” tambah khatib.
Negara Brunei Darussalam adalah sebuah negara yang amat bertuah kerana di kurniakan Sultan atau raja yang menepati erti kata Ulil Amri bagi kerajaan dan pemerintahan Islam, Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Draussalam.
Baginda adalah raja yang sangat mengasihi seluruh lapisan rakyat dan penduduk tanpa mengira bangsa, agama atau keturunan. Bukan setakat itu, Baginda juga adalah seorang pemimpin yang prihatin dan sentiasa menjaga keperluan rakyat dan penduduk supaya terus maju seiring dengan kemajuan negara luar.
Menurut khatib lagi, pada tahun ini, negara Brunei mencatat satu lagi sejarah penting iaitu 5 Oktober 2017 genaplah 50 tahun Baginda Sultan menaiki takhta.
Ia adalah hari yang penuh bermakna dan bersejarah serta akan menjadi ristaan sepanjang zaman terutama bagi menghargai kepimpinan dan sumbangan besar Baginda dalam menerajui dan membangun negara Brunei.
Sambutan yang penuh bermakna ini amat dinantikan oleh seluruh lapisan rakyat dan penduduk di negara ini.
Sepanjang tempoh 50 tahun pemerintahan Baginda, Baginda telah memperlihatkan dan keunggulan kepimpinan dalam pembangunan negara berlandaskan ajaran Islam dan hal ini menjadikan Baginda dihormati dan disanjungi di mata dunia.
Khatib seterusnya menambah, sejak Baginda memegang tampuk pemerintahan negara ini, dengan nikmat dan kurniaan Allah semua rakyat dan penduduk dapat menikmati pelbagai kemudahan, prasarana, perkhidmatan, kemajuan dan pembangunan yang berterusan sama ada di kawasan bandar atau di luar bandar.
Kemudahan jalan raya, air bersih, bekalan elektrik, perubatan, pendidikan, pertahanan dan seumpamanya, membuktikan keprihatinan dan pemedulian Baginda terhadap kebajikan dan kesejahteraan rakyat dan penduduk yang bernaung di bumi Brunei Darussalam.
“Kita amat bersyukur kepada Allah kerana menjadikan rakyat di negara ini dan dapat mengamalkan cara hidup berlandaskan ciri-ciri ajaran Islam di bawah kepimpinan raja yang adil laila bijaksana,” tambahnya.
Baginda juga adalah seorang raja yang berjiwa rakyat, bersikap pemedulian dan prihatin di samping itu, Baginda juga mengutamakan kebajikan, keharmonian, kesejahteraan rakyat dan penduduk serta mengutamakan ajaran Islam dan hukum-hukum Allah dalam membentuk dasar pentadbiran, pengurusan dan undang-undang negara yang sesuai atau selaras dengan kehendak hukum syarak.