MEMOHON jalan petunjuk yang lurus bererti memohon hidayah daripada Allah. Sepertimana dalam Surah Al-Fatihah ayat 6, maksudnya:
“Tunjukilah kami jalan yang lurus”
Ayat ini merupakan doa yang diwajibkan Allah terhadap semua hamba-Nya memandangkan ia merupakan rukun solat. Bukan sekali, tetapi 17 kali sekurang-kurangnya setiap hari. Oleh sebab itu, doa ini dianggap yang paling penting dalam kehidupan manusia.
Dari satu sudut, mengapa doa ini dipilih dalam Surah Al-Fatihah hingga menjadikannya sebagai wajib dipohon? Mengapa Allah tidak mewajibkan kita memohon keampunan, bukankah manusia sering melakukan dosa? Mengapa juga tidak dijadikan doa meminta ke syurga lebih utama daripada doa ini untuk dibaca dalam solat? Hikmahnya hidayah ialah penentu semua perkara dalam kehidupan manusia.
Dengan hidayah
– Hati seseorang akan tergerak untuk memohon ampun saat berdosa.
-Seseorang akan nampak jalan untuk ke syurga.
– Seseorang akan kekal dalam Islam.
– Memberi isyarat kepada Muslim supaya jangan begitu selesa dengan hidayah sedia ada kerana hidayah boleh pergi jike mereka tidak menjaganya. Nauzubillahiminzalik.
Justeru, tidak hairanlah doa ini merupakan ‘ibu’ segala doa!


Nikmat sebenar
Seterusnya ayat yang terakhir dalam Surah Al-Fatihah menghuraikan lagi maksud jalan yang lurus.
“Jalan yang Engkau kurniakan nikmat ke atas mereka, bukan orang yang Engkau murkai dan bukan orang yang sesat.” (Surah Al-Fatihah, ayat 7).
Berdasarkan ayat terakhir Surah Al-Fatihah ini, jalan yang lurus terdiri daripada tiga perkara:
1-Jalan yang Allah kurniakan nikmat.
2-Jalan yang tidak mengundang kemurkaan Allah.
3-Jalan yang tidak sesat.
Dua rangkap yang terakhir mungkin tidak silap untuk difahami. Jalan yang tidak mengundang kemurkaan Allah itu iaitu tidak melakukan perkara yang dilarang-Nya manakala jalan yang tidak sesat itu ialah Islam.
Namun, adakah yang kita faham maksud nikmat dalam ayat ini? Ramai yang menyangka apabila disebut nikmat, ia berupa harta, ketenangan, kepandaian atau keluarga. Kesimpulannya nikmat sering dikaitkan dengan nikmat dunia.
Hakikatnya, walaupun semua itu ialah nikmat, namun ia bukanlah nikmat yang dimaksudkan dalam ayat ini.
Apakah nikmat tersebut? Nikmat yang dimaksudkan tersebut terdapat dalam Surah Al-Nisa, ayat 69, maksudnya:
“Dan sesiapa yang taat kepada Allah dan Rasul, maka itulah orang yang diberi nikmat Allah ke atasnya daripada kalangan para nabi, orang yang benar, para syuhada dan orang yang soleh.”
Nikmat apabila manusia taat kepada perintah Allah dan Rasul. Nikmat ini telah berjaya dikecapi oleh para nabi, orang yang benar, orang yang syahid dan orang yang soleh. Inilah nikmat yang sebenar dalam hidup. – Agensi