Nikmati dan karang ‘kelazatan’ makanan

Oleh Nurdiyanah R.

Keghairahan dalam dunia kulinari sudah sebati dalam dirinya semenjak zaman pengajiannya di Australia suatu ketika dahulu kerana kebiasaan menyediakan hidangan untuk dirinya sendiri dan rakan-rakan, sehingga menerima respons baik daripada mereka dan inginkan resipi daripadanya.

Kecintaannya terhadap dunia itu membuatkan beliau terus mengorak langkah menerokai variasi makanan dan minuman di mana-mana sahaja, bahkan mengarang dalam blog makanan miliknya yang kini sudah pun terkenal dalam kalangan penduduk di negara ini dan juga orang asing.

Thanis Lim, food blogger atau blogger makanan yang tak asing lagi di negara ini, sudah berkecimpung lama dalam dunia blog, semenjak penghujung 2003 lagi, mencurahkan bait-bait ‘kelazatan’ makanan dalam blog miliknya selepas teraspirasi pada zaman pengajiannya di Australia.

“Bermula detik itulah, saya tertarik untuk berkongsi pengisian-pengisian menarik dalam laman blog saya meliputi keunikan resipi, terutama sepanjang penerokaan makanan semasa libur di dalam atau luar negara sehingga kini.

“Saya tidak hanya suka mencuba pelbagai hidangan, malah menulisnya untuk dikongsi bersama pembaca blog saya,” katanya.

Tidak kira di gerai, restoran atau kafe, keghairahan Thanis Lim dalam makanan sudah sebati dan dijelmakan ‘kelazatannya’ dalam coretan di blog makanan sama nama dengan dirinya semenjak 2003 lagi.
Sebagai seorang yang gemar makan, beliau turut berhadapan cabaran apabila pernah mencatatkan kenaikan berat badan sehingga 25kg, namun kini beliau mengambil langkah mengimbanginya dengan kegiatan riadah. – Gambar serahan Thanis Lim
Dalam meniti perjalanan sebagai food blogger ini, Thanis turut menyatakan bahawa pelbagai jenis hidangan tempatan dan juga luar negara telah diketengahkan membuatkannya dikenali ramai dalam dan luar negara. – Gambar serahan Thanis Lim

Mengimbas detik-detik manis bergelar food blogger lebih 16 tahun, penerima anugerah global dari The Gourmand World Cookbook Awards for Summer Harvest 2020 di bawah kategori Laman Web ini, mengatakan pelbagai hidangan tempatan dan luar negara diketengahkannya menjadikannya food blogger yang dikenali seperti hari ini.

Perjuangan sebagai food blogger

Namun dalam meniti perjalanan sebagai blogger makanan, apa yang membuatnya teruja ialah apabila menerima layaran tinggi di blog miliknya manakala tontonan lebih 100,000 daripada penerokaannya dalam dunia makanan antaranya jelajah makan-makan di Taiwan, Tokyo, Osaka, Pulau Pinang, Kuching, Kota Kinabalu, syurga makanan di Bangkok dan Kelantan serta makanan tempatan Brunei.

“Tidak syak lagi, blogging kini mengalami perubahan di mana media sosial semakin mewarnai kehidupan digital kita. Apabila saya melihat kembali penulisan blog pada 17 tahun lalu, saya melihat perbezaan yang sangat ketara. Itulah keseronokan yang saya rasai di mana saya dapat menyaksikan kenangan-kenangan silam meliputi kehidupan saya dan juga blog ini serta dunia amnya,” tambahnya yang pernah memenangi Brunei Foodie Blogger Challenge empat kali bersaing bersama peserta dari pelbagai budaya di negara ini iaitu dengan menampilkan kemahiran dan keunikan masakan tersendiri.

Sentiasa berusaha tingkatkan prestasi

Sehubungan dengan itu, insan yang pernah menanai tanggungjawab sebagai juri dalam beberapa pertandingan masakan tempatan dan juga terlibat dalam rancangan Food and Travel Mandarin Language Talk Show di salah sebuah program radio tanah air baru-baru ini, turut menekankan bahawa blog kini bukanlah satu-satunya platform untuk para pengunjung laman internet bahkan media sosial seperti Twitter, Facebook, Instagram dan Pinterest serta terkini, Tik Tok sudah memainkan peranan kepada orang ramai untuk mendapatkan maklumat dengan lebih pantas.

“Oleh itu, sebagai seorang blogger yang pada asalnya hanya menggunakan platform laman sesawang, perlulah sentiasa peka dan mengikuti perubahan teknologi semasa. Jangan hanya bertumpu kepada satu platform dan jadikanlah setiap platform baharu sebagai landasan untuk mengembangkan kemahiran dan bidang yang kita ceburi dari semasa ke semasa,” katanya.

“Gaya saya lebih mengutarakan mengenai restoran, hidangan dan video perjalanan dan dalam bidang ini saya sebelum ini sentiasa membawa kamera, tetapi sekarang saya lebih cenderung menggunakan telefon pintar berkualiti tinggi,” jelasnya yang pernah menulis dalam beberapa buah majalah antaranya Borneo Guide Lonely Planet.

Cabaran pasti ada

Dalam meniti dunia penerokaan makanan ini, Thanis juga berkongsi bahawa salah satu cabaran yang ditempuhi sebagai seorang blogger makanan adalah perlunya menjaga kecergasan dan kesihatan tubuh badan.

“Bukan mudah untuk mengekalkan badan yang seimbang seperti dahulunya. Dengan keperluan untuk mencuba pelbagai masakan dari hari ke hari, saya pernah mengalami kenaikan berat badan sebanyak 25 kilogram dalam masa 10 tahun. Namun, kini saya tetap ber-usaha untuk mengamalkan pengambilan makanan seimbang disertai aktiviti sihat,” tegasnya.

Pentingnya saling menghargai

Selain itu, Thanis turut menyarankan dalam menghasilkan sesebuah penulisan itu perlu menitik beratkan nilai sa-ling menghargai dari segala aspek.

Keunikan restoran, orang-orang persekitarannya dan budaya di sebalik setiap hidangan, itulah yang seeloknya diterokai.

“Jauhi penilaian menjurus kepada aspek-aspek negatif sehingga boleh menjejaskan ‘periuk nasi’ seseorang, meskipun kita mengetahui bahawa setiap individu memiliki cita rasa yang berbeza. Apa yang pasti, hadirnya saya dalam bidang ini, hanya untuk berkongsi kelazatan dan keunikan kulinari di mana-mana baik semasa bersendirian mahu pun bersama ahli keluarga serta rakan-rakan,” tambahnya, menasihatkan generasi muda yang memiliki minat sama untuk sentiasa menulis dan belajar dari semasa ke semasa serta jadilah diri sendiri dan janganlah sesekali hanya untuk popular semata-mata, semasa mengakhiri sesi temu bual bersama Media Permata baru-baru ini.