Wednesday, April 24, 2024
23.7 C
Brunei

    -

    Nikmati keindahan perarakan patung gergasi di Siem Reap

    PHNOM PENH – Jika seekor harimau gergasi atau naga berkepala lima melintas di jalanan pasti akan menarik perhatian awda. Orang ramai boleh melihat pemandangan mengagumkan seperti itu di perarakan boneka gergasi di daerah Banteay Srei, Siem Reap pada April ini.

    Tujuan perarakan diadakan adalah untuk menarik pelancong dan meningkatkan kesedaran tentang seni, budaya, isu alam sekitar dan pemuliharaan haiwan dan itulah sebabnya penduduk Siem Reap bekerjasama untuk menjadikan ciptaan gergasi itu hidup dan berarak di jalan mereka.

    Perarakan patung gergasi itu diadakan 15 tahun lalu oleh artis British, Jig Cochrane dan arkitek yang berpangkalan di Siem Reap, Stuart Cochlin. Acara itu sentiasa diadakan di Siem Reap dengan ramai artis yang terlibat datang dari Battambang.

    Projek ini juga berfungsi sebagai platform kreatif untuk kanak-kanak yang kurang bernasib baik untuk memupuk dan mempromosikan ekspresi diri dan keyakinan melalui seni.

    Sebelum penularan wabak, terdapat ratusan orang yang terlibat dalam projek itu dan beberapa ribu orang menghadiri acara itu setiap tahun. Walaupun diadakan di bandar Siem Reap, perarakan itu telah dirancang dan dianjurkan di Banteay Srei, salah sebuah destinasi ekopelancongan yang paling popular di wilayah itu.

    Disebabkan itu, tahun ini lapan patung rotan dan kertas untuk acara 2022 dijadualkan untuk perarakan di desa ekopelancongan Preah Dak di daerah itu pada awal Mac tetapi ia terpaksa ditangguhkan kerana wabak varian Omicron.

    Pelajar banyak terlibat dalam melakukan pembuatan patung gergasi untuk perarakan. – ANN/The Phnom Penh Post
    Kelihatan para pelajar membuat patung gergasi. – ANN/The Phnom Penh Post
    Seekor harimau dan burung florian Bengal yang diperbuat daripada rotan dan kertas dipamerkan di Heritage Walk Siem Reap. – ANN/The Phnom Penh Post

    Pasukan itu merancang untuk menganjurkan perarakan patung gergasi di desa Preah Dak untuk meraikan Hari Kebudayaan Kebangsaan dan Hari Wanita Antarabangsa dan menarik pelancong untuk datang dan melihat Banteay Srei, menurut laman Facebook Gabenor Daerah Banteay Srei Khim Finan, yang menaja acara tahun ini.

    “Malangnya, disebabkan keadaan wabak yang tidak mengizinkan, pasukan memutuskan untuk menangguhkan program itu,” tulisnya. “Bagaimanapun, kami terus menghasilkan patung gergasi ini, memindahkan bengkel dari Wat Preah Dak ke bandar Siem Reap dan mempamerkannya buat sementara waktu di Heritage Walk.”

    Sama seperti program asal yang diadakan buat pertama kali pada 2007 yang memberi peluang kepada kanak-kanak membuat patung untuk pameran dan perarakan jalanan, pada tahun ini lapan patung telah dibuat oleh artis amatur muda untuk menggalakkan imaginasi kanak-kanak.

    Lim Leang Chhay, bekas pelajar Phare, 31, telah menghadiri acara itu sejak 2013, adalah ketua pasukan produksi patung gergasi.

    “Tahun ini kami mempunyai seorang lelaki menjual jus palma, layang-layang gaya Khleng Ek tradisional, Citadel of Women, burung florian Bengal, seorang wanita menjual nom banh chok (mi beras), seekor harimau, watak dari tarian tradisional Lakhon Khol dan Naga berkepala lima. Untuk setiap patung, kami mengambil masa dua hari untuk menghasilkan bingkai dan kemudian melekatkan kertas berwarna padanya dan memasang lampu,” kata Chhay.

    Patung diperbuat daripada rotan, pita pelekat, gam, buluh, kertas warna, dan bahan-bahan lain. Mereka biasanya mempunyai beberapa bahagian yang bergerak dan lampu di dalam untuk menerangi patung pada waktu malam dan menyerlahkan kecantikannya. Roda dipasang di bawahnya untuk memudahkan pergerakannya.

    Chhay telah terlibat dalam pembuatan banyak patung, termasuk ular, jurukamera, naga dan lebah. Dia berkata, membuat patung itu bukan mudah kerana rotan yang digunakan untuk bingkai itu sukar dibengkokkan dan rapuh serta artis yang lebih tua perlu mengajar golongan muda cara melakukannya dengan betul.

    Ciptaan artistik gergasi juga direka bentuk untuk mempunyai anggota badan yang bergerak atau bahagian lain agar perarakan lebih menarik dan menyeronokkan.

    Finan, gabenor daerah Banteay Srei yang sering dipuji kerana kerja pembangunan tempatan yang dilaksanakannya, menulis bahawa walaupun boneka itu lucu dan menyeronokkan, mereka dipilih dengan teliti dan menjelmakan seni, budaya, persekitaran dan identiti daerahnya.

    “Yang paling istimewa ialah semua patung gergasi ini dibuat oleh tangan kanak-kanak dan orang muda dengan bantuan daripada pekerja syarikat, penaja dan orang awam serta di bawah pimpinan dan penyeliaan artis profesional dari Phare Ponleu Selpak di wilayah Battambang,” kata Finan.

    Menariknya, memandangkan saiznya, setiap patung hanya mengambil masa dua hari untuk disiapkan tetapi kesemuanya memberi cabaran kepada pasukan.

    “Rotan itu rapuh dan sukar dibengkokkan dan kertasnya melekat pada bingkainya dan akan mudah koyak jika kita tidak berhati-hati. Apabila mengajar kanak-kanak, kami perlu menerangkan banyak perkara kepada mereka sepanjang dua hari mereka mengambil bahagian dalam membuat patung,” kata Chhay.

    Finan berkata perarakan boneka gergasi telah dijadualkan semula pada 13 April dan masih akan berlangsung di daerah Banteay Srei sebagai sebahagian daripada acara Tahun Baharu Khmer mereka. Program hiburan akan diadakan di pagoda Banteay Srei dan perarakan patung gergasi akan berlangsung di desa Preah Dak.

    Beliau berkata patung gergasi tidak dibuat untuk menyamai acara Tahun Baharu Khmer, sebaliknya ia direka untuk sambutan Hari Kebudayaan Kebangsaan dan Hari Wanita Antarabangsa, tetapi disebabkan wabak COVID perarakan asal untuk tarikh tersebut dibatalkan.

    “Tetapi kami sudah mempunyai patung gergasi ini jadi kami akan mempamerkannya pada 13 April sejurus sebelum Tahun Baharu Khmer untuk menjadikan program yang dirancang di Siem Reap lebih besar,” kata Finan kepada The Phnom Penh Post, sambil menambah semua pelancong yang melawat bandar Siem Reap untuk melihat kuil atau menghadiri acara di sana dialu-alukan untuk datang ke Banteay Srei berdekatan untuk perarakan.

    Finan, yang terkenal di daerah ini kerana memasang lampu jalan dan membantu petani tembikai tempatan, berkata walaupun orang ramai sepatutnya bergembira di acara itu, langkah pencegahan COVID tetap perlu diikuti.

    “Walaupun kami mempunyai banyak aktiviti yang menyeronokkan, kami telah memberi tumpuan kepada aktiviti yang kurang berisiko. Acara dianjurkan di luar rumah dan semua peserta diwajibkan memakai pelitup muka dan mengekalkan penjarakan sosial. Bagi pihak pentadbiran daerah, kami ingin merayu kepada semua orang ramai dan pelancong yang mempertimbangkan untuk melawat daerah Banteay Srei untuk mengekalkan langkah-langkah penjarakan bagi memastikan keselamatan,” katanya.

    Gabenor Wilayah Siem Reap, Tea Seiha mengatakan Siem Reap mengalu-alukan kembali perayaan Maha Songkran (hari pertama Tahun Baharu Khmer) selepas dua tahun pembatalan yang didorong oleh pandemik.

    “Kami akan mengadakan acara kebudayaan seperti tahun-tahun sebelumnya, tetapi kami akan menganjurkannya supaya penjarakan sosial dapat diamalkan. Beberapa acara ini disediakan sehingga dua tahun lalu, tetapi terganggu oleh wabak itu,” katanya. – ANN/The Phnom Penh Post

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Amaran ribut hujan tertinggi dikeluarkan

    BEIJING, 23 APRIL - Lebih 100,000 orang telah dipindahkan akibat hujan lebat dan banjir yang membawa maut di selatan China, dengan kerajaan mengeluarkan amaran...