Tuesday, November 29, 2022
22.6 C
Brunei

-

Nikmati keunggulan khazanah pulau di Semporna

Oleh Mohamad Bakri Darus

SEMPORNA – Dengan gelaran ‘Negeri di bawah Bayu’, Sabah sememangnya cukup kaya dengan keindahan pulau-pulaunya yang mempunyai tarikan tersendiri serta menjadi tumpuan pelancong dari dalam dan luar negara. 

Disajikan dengan panorama pulau yang air lautnya berwarna biru dan hijau jernih serta hamparan pasir pantai memutih, wajarlah Sabah diangkat sebagai destinasi percutian bertaraf dunia malah mendapat jolokan ‘Maldives Asia Tenggara’. 

Awal September lepas, penulis bersama sekumpulan wakil media berkesempatan menyertai delegasi Kementerian Komunikasi dan Multimedia (K-KOMM) yang diketuai menterinya, Tan Sri Annuar Musa ke Sabah.

Kunjungan selama tiga hari dua malam yang bermula pada 8 hingga 10 September itu adalah untuk meninjau kemudahan telekomunikasi serta tahap keselamatan di beberapa buah pulau berpenduduk dan yang menjadi tumpuan pelancong di Semporna.

Antara yang kami kunjungi ialah Pulau Sipadan, salah sebuah daripada 20 buah pulau peranginan di perairan Semporna, yang terletak di pantai timur Sabah.

Pulau Kapalai di Semporna menyajikan pemandangan cantik dan suasana tenang kepada sesiapa yang mengunjunginya. – Bernama
Menteri Komunikasi dan Multimedia, Tan Sri Annuar Musa (dua kanan) memegang ketam kelapa di Pulau Sipadan ketika mengadakan lawatan kerja di Semporna. – Bernama
Pulau Sipadan antara 12 pulau tercantik di dunia dengan hidupan marin dasar lautnya dan sering dikunjungi peminat penyelam skuba. – Bernama

Memandangkan ini kali pertama penulis menjejakkan di Pualu Sipadan, segala yang dilihat begitu indah dan tidak hairanlah ia digelar ‘syurga dunia’ kepada penyelam skuba. Ia juga dinobat antara 10 lokasi selam skuba tersohor dunia.

‘Syurga’ dunia penyelam skuba

Ketibaan kami di jeti Pulau Sipadan disambut oleh pasukan anggota Angkatan Tentera Malaysia (ATM) Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCOM) yang ditempatkan di pulau itu serta kakitangan Unit Penyelidikan Marin Taman Pulau Sipadan.

Bukan sahaja panorama pulau yang indah, ia juga mempunyai kepelbagaian biologi marin di samping terdapat lebih 400 spesies ikan serta ratusan spesies karang ditemui di sekitar perairan pulau ini. Selain dilitupi hutan rimbun dan menjadi kediaman pelbagai spesies burung tropika seperti helang laut, burung merpati kayu, burung raja, burung matahari serta kelawar buah, kawasan sekitar pulau ini juga turut menjadi tempat pendaratan penyu untuk bertelur.

Pulau Sipadan diisytiharkan sebagai tempat perlindungan burung seawal tahun 1993 dan pada tahun 2004, ia diwartakan sebagai Taman Laut dan semua kemudahan penginapan ditutup untuk terus melindungi khazanah semula jadi yang perlu dipelihara.

Pelancong yang ingin memasuki Taman Laut Pulau Sipadan mesti mendapat kebenaran daripada pihak pengurusan Taman-taman Sabah dan mereka tidak dibenarkan untuk menginap di pulau berkenaan.

Sambil menikmati keindahan panorama pulau, kami turut dibawa meninjau kawasan sekitar yang turut menempatkan Pusat Penyelidikan dan Konservasi Penyu terutama Penyu Hijau dan Penyu Sisik. Pusat berkenaan boleh menampung sehingga 900 sarang penyu dalam satu-satu masa.

Anggota delegasi turut berpeluang melihat secara dekat ketam kelapa yang dimaklumkan adalah haiwan Invertebrata daratan yang terbesar di dunia, dan menjadi antara tarikan utama pelancong ke Pulau Sipadan.

Berdasarkan laporan kajian populasi ketam kelapa tahun 2015 hingga tahun 2021, terdapat 168 ekor ketam kelapa ditemui di pulau itu pada tahun 2021.

Menurut pegawai Unit Penyelidikan Marin Taman Pulau Sipadan, Hairy Sayadi, keunikan ketam itu ialah ia boleh memanjat pokok kelapa, menjatuhkan buahnya sebelum mengupas kulit menggunakan sepitnya yang kuat dan kemudian memakan isi kelapa.

Rasai ketenangan

Selesai di Pulau Sipadan, kami seterusnya menaiki bot laju menuju ke Pulau Kapalai, sebuah tebing besar yang timbul di permukaan Laut Celebes dan terkenal sebagai lokasi popular untuk penyelam skuba meninjau pelbagai spesies hidupan marin kecil.

Sebaik menjejakkan kaki di jeti, penulis sudah dapat merasai ketenangan suasana persekitaran Pulau Kapalai dengan air lautnya yang jernih berwarna hijau kebiru-biruan. Tiada tanah dan pantai di sini, yang ada hanyalah tebing pasir. Kawasan pulau ditenggelami air laut akibat hakisan beratus tahun.

Pulau Kapalai mempunyai kemudahan resort atau tempat peranginan bagi para pengunjung yang berminat untuk bermalam di situ dengan pelbagai aktiviti menarik turut ditawarkan antaranya bersnorkel, berenang, menyelam dan berkayak.

Chalet di pulau ini dibina menggunakan kayu dengan semua tiang dipacak kukuh ke dasar laut, dengan reka bentuk seni binaan Sabah.

Pengunjung juga boleh bersantai dalam air yang jernih di sekitar resort atau mendapatkan topeng menyelam permukaan dan ‘fin’ untuk melihat kehidupan marin dengan lebih jelas di dasar laut. Jambatan kayu umpama pelantar dibina bagi menghubungkan sebuah chalet dengan chalet yang lain dan pengunjung yang berjalan di jambatan ini berpeluang melihat keindahan karang dan pelbagai spesies hidupan laut yang berenang di bawahnya.

Pengusaha resort mengindahkan kawasan sekitar di sepanjang jambatan dengan menanam pokok bunga dan pokok palma yang menjadi latar belakang yang cukup menarik untuk pengunjung merakam gambar.

Inisiatif kerajaan tingkat keselamatan

Kemudahan bermalam untuk wakil delegasi disediakan di Pulau Mabul, juga pulau percutian tercantik yang mempunyai lebih daripada 4,000 orang penduduk.

Dari Pulau Sipadan ke Pulau Mabul hanya mengambil masa kira-kira 20 minit dengan menaiki bot, sementara dari pekan Semporna, perjalanan menaiki bot ke Pulau Mabul mengambil masa kira-kira 45 minit. Di Pulau Mabul terdapat resort dengan chalet yang dibina di atas laut dan juga chalet di daratan di celah-celah pokok merimbun dan dipenuhi dengan pokok kelapa.

Pulau Mabul dianggap destinasi wajib dikunjungi pelancong yang ingin melakukan aktiviti menyelam kerana airnya yang jernih dan bersih serta kedalamannya kira-kira 25 hingga 30 meter memudahkan pengunjung untuk melihat pelbagai jenis hidupan laut.

Penulis berkesempatan berbual dengan penduduk di perkampungan nelayan yang berkongsi kegembiraan mereka atas inisiatif yang dijalankan kerajaan bagi kemajuan sosioekonomi serta menjaga keselamatan penduduk sekitar.

Menurut Bikang Alif, 63, langkah menempatkan pasukan keselamatan ESSCOM menjadikan pulau berkenaan selamat untuk didiami dan dikunjungi oleh pelancong.

“Di pulau ini ada menara telekomunikasi, ini baik untuk kami dan anak-anak muda untuk menggunakan internet, cuma kelajuannya boleh dipertingkatkan lagi untuk seluruh pulau ini,” kata nelayan yang mempunyai tujuh orang cahaya mata itu.

Imam Masjid Pulau Mabul, Morsyid Yasser Harun, 47, pula berkata, kesungguhan kerajaan dan badan bukan kerajaan (NGO) menganjurkan program yang melibatkan para penduduk banyak membantu meningkatkan taraf sosioekonomi mereka. – Bernama

- Advertisment -

Disyorkan Untuk Anda

Taliban Pakistan tamat gencatan senjata

ISLAMABAD, 28 NOV – Taliban Pakistan berkata hari ini mereka telah membatalkan gencatan senjata goyah yang dipersetujui dengan kerajaan pada Jun lalu dan mengarahkan...
- Advertisment -