Nikmati santai petang bersama hidangan istimewa

Oleh Nurdiyanah R.

Waktu minum petang sememangnya masa yang amat sesuai untuk bersantai bersama keluarga tersayang. Begitu indah sekali bersama keluarga tercinta sambil berborak dan menikmati hidangan yang begitu enak dan menyelerakan.

Ingin mencari pelbagai juadah yang enak setelah penat pulang bekerja atau mengisi waktu bersantai bersama insan-insan tersayang?

Usah runsing untuk mencari di mana-mana. Apa kata anda merasai menu-menu minum petang istimewa yang diketengahkan oleh Rizqun Coffee House, Hotel Antarabangsa Rizqun, Gadong.

Mi kari laksa

Salah satu menu istimewa yang ditawarkan untuk para pengunjung ialah mi kari laksa.

Sejenis makanan berkuah yang mengandungi bahan-bahan dari mi laksa dan potongan timun, telur rebus, hirisan daun bawang dan cili padi serta limau kasturi.

Cef Nova memperkenalkan menu-menu hidangan minum petang yang ditawarkan di Rizqun Coffee House, Hotel Antarabangsa Rizqun, Gadong semasa ditemui penulis baru-baru ini.

Kuahnya yang berasaskan daripada kari dan ditambah lagi dengan adanya udang segar itu sememangnya begitu enak dinikmati ketika masih panas, lebih-lebih lagi dengan adanya gabungan rasa masam manis mampu menaikkan selera penggemarnya.

Crumbed Rissoles

Kelazatan Crumbed Rissoles juga merupakan salah satu hidangan yang mampu menawan cita rasa seseorang. Dengan ketebalan potongan isi ayam yang cukup rasa dengan rempah istimewa digulung bersama adunan tepung gandum dan disaluti dengan telur yang digoreng sehingga rangup itu lebih enak dicicah bersama sos keju dan coleslaw.

Selain itu, Beef Nachos dan Chili Beef yang berkonsepkan ala Barat itu juga menjadi salah satu menu istimewa yang diketengahkan yang mana dengan kerangupan keropok nachos itu diserikan lagi dengan keenakan daging tumis bersos lada.

Roti kawin bakar

Apa yang menarik lagi ialah Roti Kawin Bakar juga mampu menjadi igauan para pengunjung yang menikmati juadah minum petang di restoran berkenaan. Ditampilkan dengan penuh keunikan dengan taburan keju dan chocolate rice itu begitu terserlah apabila dinikmati bersama minuman panas.

‘Lajutah Minum Patang’

Menurut Senior Sous Chef, Rizqun Coffee House, Mohammad Nova Akbar atau lebih senang disapa Cef Nova menjelaskan bahawa menu-menu istimewa ini sememangnya sangat berbaloi daripada segi harga yang berpatutan dengan kualiti dan kuantiti yang memuaskan cita rasa para pengunjung.

“Gabungan konsep hidangan minum petang yang menarik pastinya akan memberi kepuasan apabila anda menikmati pelbagai menu yang tersedia dengan teh tarik bermula setiap petang hari Isnin hingga Jumaat,” tambahnya semasa memperkenalkan promosi menu terbaharu restoran berkenaan iaitu ‘Lajutah Minum Patang’ ketika ditemui penulis segmen Makan-Makan, baru-baru ini.