Oleh Dr Muhammad Hadi bin Muhammad Melayong,
Pejabat Sekretariat,Majlis Tertinggi Melayu Islam Beraja
SELARAS dengan Plan Tindakan Strategik Majlis Tertinggi Melayu Islam Beraja (2015-2020) satu program berterusan bagi penerapan nilai-nilai Melayu Islam Beraja kepada keseluruhan pegawai dan kakitangan Kementerian Kewangan yang bermula pada 18 September 2018 telah berjaya dijalankan.
Program ini telah diselenggarakan oleh Jabatan Sumber Tenaga Manusia, Kementerian Kewangan dengan kerjasama Pejabat Sekretariat Majlis Tertinggi Melayu Islam Beraja dan Akademi Pengajian Brunei, Universiti Brunei Darussalam.
Program yang dimaksudkan adalah aktiviti forum dan taklimat mengenai MIB. Matlamat dan tujuan program ini adalah untuk memberi kefahaman dengan lebih mendalam lagi tentang nilai-nilai MIB bagi mendukung pengamalan perlaksanaan nilai-nilai utama (BAIK) Kementerian Kewangan.
Nilai-nilai BAIK yang dimaksudkan memang komponen yang terkandung dalam nilai-nilai MIB iaitu Beriman dan Bertakwa (ikhlas, taat setia dan patriotik), Akauntable (pengurusan yang baik, bertanggungjawab, komited dan beriltizam), Integriti (Adil, jujur, amanah dan berdisiplin), Kecemerlangan (produktif, Profesional dan setia kawan).
Dengan lain perkataan nilai-nilai utama BAIK Kementerian Kewangan yang telah diamalkan dalam perlaksanaan tugas dan tanggungjawab dalam perkhidmatan awam adalah termasuk dalam nilai-nilai MIB yang mana perlu diperkukuhkan dan dikuatkan lagi.
Pengamalan dan penghayatan nilai-nilai ini yang termasuk dalam perlaksanaan Dasar Negara adalah selaras dengan titah Baginda Sultan agar diketahui dan difahami oleh semua warga perkhidmatan awam negara ini supaya perjalanan jentera pentadbiran kerajaan tidak tersasar dari landasan keBruneian.
Sebagaimana titah Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam bersempena majlis bersama rakyat dan penduduk Negara Brunei Darussalam di United Kingdom Dan Ireland Utara pada hari Ahad 1 Rabiulawal 1437 bersamaan 13 Disember 2015 bertempat Hotel Hilton On Park Lane London, United Kingdom : … Untuk lebih menjelaskan lagi mengenai dengan sistem nilai ini, kita sekarang alhamdulillah, sedang diberkati oleh Allah dengan sistem Pemerintahan Melayu Islam Beraja (MIB). MIB inilah sistem nilai kita. Di mana pun kita berada, MIB tetap bersama-sama dengan kita. Janganlah ia di sembaranakan. Menyembaranakan MIB bererti menyembaranakan sistem nilai kita. Tunjang MIB ialah ajaran Islam tulen. Jangan kita berganjak dari ajaran ini. Peganglah ia kuat-kuat tanpa perlu menoleh atau melihat ke mana-mana lagi. Inilah warisan turun temurun, kita mesti berbangga dengannya.
Majlis forum dan taklimat MIB yang berlangsung baru-baru ini di Dewan Kuliah Kementerian Kewangan dihadiri hampir lebih kurang 100 orang peserta dari jabatan-jabatan di bawah Kementerian Kewangan.
Di antara pegawai-pegawai kanan yang hadir dalam majlis pagi itu ialah Timbalan Pengarah, Tabung Amanah Pekerja, Haji Omar bin Haji Dali, Pengarah Unit Pemantauan dan Penyampaian, Hajah Nurliati binti Haji Idris, Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Perlindungan Deposit Brunei Darussalam, Dayang Hajah Shadina binti Dato Paduka Haji Omar, Pemangku Pengarah BPSM-HEK, Hajah Rokiah binti Haji Badar dan pegawai-pegawai kanan serta kakitangan di kesemua bahagian.
InsyaAllah, program ini akan dijalankan berterusan setiap bulan untuk semua pegawai dan kakitangan Kementerian Kewangan.
Diamalkan dan dihayati
Majlis pada pagi itu telah dipengerusikan oleh Pegawai Perhubungan Awam, Kementerian Kewangan, Hajah Rozaidah binti Haji Abdul Rahman dan ahli panel forum ialah Dr Muhammad Hadi bin Muhammad Melayong dan Pengiran Dr Khairul Rijal bin Pengiran Haji Abdul Rahim.
Majlis forum dimulakan dengan bacaan surah Al-Fatihah beramai-ramai yang diketuai oleh Pengiran Dr Khairul Rijal dan seterusnya penjelasan mengenai inti pati perbincangan yang disampaikan oleh puan pengerusi, Hajah Rozaidaah. Terdapat enam soalan yang telah disediakan oleh pihak penganjur untuk dijadikan bahan perbincangan pada pagi tersebut dengan memfokuskan kepada nilai budi bangsa Brunei yang merupakan nilai utama perlu diamalkan dan dihayati dalam perlaksanaan tugas di perkhidmatan awam dan juga dalam kehidupan seharian.
Perkara ini telah disentuh oleh Pengiran Dr Khairul Rijal dengan panjang lebar dalam membincangkan mengenai persoalan yang telah diketengahkan iaitu cara bagi penerapan nilai-nilai MIB sebagai seorang pegawai atau kakitangan perkhidmatan awam dan peranan dan tanggungjawab sebagai seorang rakyat Brunei dalam mengamalkan nilai-nilai MIB.
Pengiran Dr Khairul Rijal menjelaskan bahawa orang-orang Brunei itu mempunyai sahsiah dan sikap yang bercalakkan kepada nilai-nilai MIB, jika perkara tersebut bertentangan dengan MIB maka itu bukan Brunei. Dalam hal ini sebagai Bangsa Brunei mesti mempunyai dan memiliki jati diri MIB yang menjadi identiti KeBruneian.
Contoh yang paling jelas akan nilai-nilai jati diri orang Brunei ialah malu berbuat silap dan jahat tetapi suka berbudi, bersedekah, bertimbang rasa dan sebagainya. Nyatanya budaya Brunei itu kaya dengan nilai budi sehingga melahirkan panggilan orang Budiman.
Ertinya seorang yang budiman itu mesti memiliki nilai-nilai berbudi Bahasa (dilihat dari segi penggunaan), berbudi pekerti (dilihat dari segi tingkah laku dan kelakuan) dan berbudi bicara (pertimbangan pemikiran).
Ketiga-tiga nilai ini mesti diamalkan dan dihayati dalam perlaksanaan tugas dan tanggungjawab sebagai warga perkhidmatan awam seperti yang terkandung dalam nilai utama Kementerian Kewangan supaya tidak bertentangan dengan nilai Kebruneian sebagaimana yang pernah dititahkan seperti kronisme, korupsi (tidak jujur dan amanah) dan mementingkan diri (tidak profesional).
Inilah identiti dan jati diri orang Brunei yang patut diwarisi dan diamalkan dalam kehidupan bermasyarakat dan bernegara.
Bagi panel kedua, penulis sendiri telah menekan kepentingan MIB sebagai pegangan untuk menyatu-padukan kehidupan rakyat di negara ini selaras dengan nilai BAIK yang menekankan setia kawan atau berpasukan dalam perlaksanaan tugas dan tanggungjawab.
Pengamalan MIB juga akan melahirkan semangat ketaatan dan kejujuran dalam melaksanakan amanah yang menjadi nilai utama dalam budaya dan ajaran utama Islam bahkan pengamalan sistem beraja iaitu taat setia yang tidak berbelah bagi kepada pemimpin atau ketua.
Semuanya ini adalah nilai-nilai MIB yang memang telah diamalkan yang hanya perlu dikukuhkan dan dikuatkan lagi untuk keberkesanan dalam pentadbiran dan pengurusan kewangan di negara ini.
Penulis menekankan bahawa semua sistem nilai budi yang telah diperjelaskan oleh Pengiran Dr Khairul Rijal memang sudah mendarah daging dalam budaya dan kehidupan Bangsa Brunei.
Nilai-nilai ini hanya perlu dikukuhkan kerana ianya tidak perlu dipersoalkan berdasarkan kepada sejarah, Perlembagaan Negeri Brunei 1959, Adat Istiadat Diraja Brunei dan Ajaran Ugama Islam.
Kenyataannya, pengamalan dan penghayatan MIB itu adalah menggambarkan identiti dan jati diri orang Brunei dalam kehidupan bermasyarakat demi kesejahteraan dan kemakmuran negara ini.
Sebagai contoh daripada segi undang-undang sebagaimana yang terkandung dalam Perlembagaan Negara ini dalam pindaan 2004 dan 2008 telat dinyatakan akan kedudukan Melayu Islam Beraja tidak boleh dipersoalkan.
Ini menunjukkan bahawa kekebalan Melayu Islam Beraja sebagai falsafah bahkan dasar negara yang perlu difahami dan diketahui oleh setiap rakyat dan penduduk negara ini demi kelangsungan Negara Melayu Islam Beraja.