Nilai dagangan M’sia susut RM700.74 Bilion

KUALA LUMPUR, 7 SEPT – Nilai dagangan Malaysia dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) iaitu mulai bulan Mac hingga Julai, 2020, menyusut sebanyak 10.3 peratus kepada RM700.74 bilion disebabkan oleh penurunan eksport dan import, kata Menteri Kanan merangkap Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali.

Menurutnya eksport dan import masing-masing menurun sebanyak 9.5 peratus dan 11.4 peratus berbanding tempoh yang sama pada tahun 2019.

“Bagaimanapun, imbangan dagangan pada ketika ini masih mencatatkan lebihan dengan peningkatan marginal sebanyak satu peratus kepada RM65.07 bilion berbanding RM64.45 bilion dalam tempoh yang sama pada 2019,” katanya pada persidangan Dewan Negara hari ini.

Beliau menjawab soalan Senator Lim Hui Ying yang ingin tahu mengenai apakah kesan akibat PKP kepada imbangan dagangan Malaysia.

Mohamed Azmin berkata bagi tempoh Mac hingga Julai 2020, kesemua kategori utama import iaitu barangan perantaraan, barangan modal dan barangan penggunaan telah merekodkan penurunan import.

Dalam tempoh itu juga, penurunan eksport turut dicatatkan bagi hampir kesemua sektor utama khususnya barangan elektrik dan elektronik, keluaran petroleum, petroleum mentah, barangan perkilangan logam dan gas asli cecair, katanya.

Beliau berkata penurunan eksport itu disebabkan sekatan operasi yang dikenakan kepada kebanyakan sektor utama semasa tempoh PKP.

“Penyusutan eksport ini telah dijangka memandangkan kebanyakan negara di seluruh dunia terbabit dalam sekatan pergerakan bagi membendung penularan pandemik COVID-19. Ia telah menjejaskan aktiviti pembuatan serta rangkaian bekalan di peringkat global,” katanya.

Bagaimanpaun, Mohamed Azmin berkata kesan pemulihan telah dapat dilihat di mana prestasi eksport melonjak sebanyak lapan peratus pada bulan Jun 2020 berbanding bulan sama pada 2019. – Bernama

Gambar fail bertarikh 5 September menunjukkan Datuk Seri Mohamed Azmin Ali ketika mengadakan lawatan ke Kilang Fermpro Sdn Bhd di Kawasan Industri Cuping, Padang Besar. – Bernama