Thursday, April 25, 2024
24.8 C
Brunei

    -

    Nilai dolar AS naik setara dengan euro

    WASHINGTON, 8 JULAI – Dolar AS telah naik mendadak sehingga ia mencecah nilai yang hampir sama dengan euro buat pertama kalinya dalam 20 tahun.

    Bagaimanapun, trend tersebut bakal menjejas syarikat Amerika Syarikat (AS) disebabkan produk mereka menjadi lebih mahal untuk pembeli asing. Sekiranya eksport AS terjejas akibat kenaikan mata wang, ekonomi AS juga akan ikut terjejas.

    Namun kesan positif yang timbul adalah dolar yang lebih kukuh mengurangkan inflasi kerana barangan yang diimport ke AS, daripada kereta dan komputer kepada barang mainan dan peralatan perubatan – menjadi lebih murah. Dolar yang kukuh juga memberikan manfaat kepada warga AS yang melancong di Eropah.

    Indeks Dolar AS, yang mengukur nilai mata wang AS berbanding enam mata wang asing utama, telah melonjak hampir 12 peratus pada tahun ini kepada tahap tinggi dua dekad. Euro kini hanya bernilai AS$1.02.

    Dolar naik terutamanya disebabkan Simpanan Persekutuan sedang menaikkan kadar faedah lebih agresif berbanding bank pusat di negara lain dalam usahanya untuk mengatasi inflasi paling teruk di AS dalam empat dekad.

    Kenaikan kadar oleh Persekutuan mendorong pendapatan Perbendaharaan AS meningkat, justeru menarik pelabur untuk mendapatkan hasil pendapatan yang lebih tinggi berbanding pasaran lain di dunia. Ia sekali gus menambah permintaan untuk sekuriti yang menggunakan mata wang dolar, seterusnya menambah nilai dolar. – AP

    Gambar fail menunjukkan syiling euro dan wang kertas dolar kelihatan di Frankfurt, tengah Jerman. Dolar AS telah naik mendadak sehingga ia hampir sama nilai dengan euro buat pertama kali dalam 20 tahun. – AP
    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Korea Utara hantar delegasi ke Iran

    PYONGYANG, 24 APRIL - Delegasi ekonomi Korea Utara peringkat tinggi sedang dalam perjalanan ke Iran, kata media negara Korea Utara pada hari ini, untuk...