Nilai eksport Indonesia cecah paras tertinggi pada Mac

JAKARTA, 19 APRIL – Nilai eksport Indonesia mencecah rekod AS$18.35 bilion pada Mac tahun ini – paras tertinggi sejak AS$18.64 bilion yang dicatatkan pada Ogos 2011 – menurut Indonesia Statistik (BPS).

Angka Mac mencerminkan kenaikan 20.31 peratus berbanding Februari 2021 dan 30.47 peratus berbanding Mac 2020 – kedua-duanya didorong peningkatan eksport komoditi minyak/gas dan bukan minyak/bukan gas.

Ketua BPS Kecuk Suhariyanto dipetik Agensi Berita Antara berkata pertumbuhan memberangsangkan sejak peningkatan bulan ke bulan dan tahun ke tahun.

“Permintaan tinggi daripada beberapa negara dan kenaikan harga komoditi utama Indonesia memberikan pengaruh besar terhadap prestasi eksport pada Mac tahun ini,” katanya.

Pertumbuhan eksport yang positif dicatat di semua sektor, termasuk minyak dan gas, pertanian, pembuatan, dan perlombongan. Secara bulanan, sektor minyak dan gas tumbuh 5.28 peratus, pertanian menokok 27.06 peratus, pembuatan meningkat 22.37 peratus dan kegiatan perlombongan dan kegiatan lain naik 13.68 peratus.

Eksport juga menunjukkan pertumbuhan positif dari tahun ke tahun, dengan sektor minyak dan gas melonjak 38.67 peratus, pertanian meningkat 25.04 peratus, pembuatan naik 33.45 peratus, dan perlombongan dan lain-lain bertambah 11.95 peratus. – Bernama

Pelanggan melihat pameran kereta di sebuah gedung beli belah di Jakarta. – AFP