Friday, February 14, 2025
24.4 C
Brunei

    Berita Terkini

    Nilai estetik karya seni berdasarkan perspektif kehidupan

    Oleh Lenna N.B.

     

    “MASALAH keluarga adalah satu isu yang mungkin kita terlepas pandang selama ini, namun di negara luar, isu keluarga ini sering menjadi satu masalah sosial utama yang dititikberatkan. Kita tidak sedar bagaimana kanak-kanak tertekan dengan keadaan di rumah.

    Walau secara fizikalnya mereka mendiamkan diri, tetapi batin mereka terseksa dan seolah-olah tidak didengar. Ibu bapa bergaduh dan terlalu memberikan tekanan kepada anak-anak dan sebagainya.

    Kesakitan anak-anak inilah saya visualkan melalui ekspresi wajah-wajah seni arca saya,” kata Dayang Hidayah Teo menerangkan pengertian sebalik karyanya di Pameran Impact 2017 pada baru-baru ini.

    Pameran Impact 2017 adalah pameran seni dan reka bentuk lanjutan daripada pameran Spectacle pada tahun-tahun sebelumnya. Ia adalah anjuran Program Seni dan Teknologi Kreatif (Art and Creative Technology Programme) di bawah Fakulti Seni dan Sains Sosial, Universiti Brunei Darussalam sejak tahun 2013 dengan penyertaan seramai 21 orang mahasiswa.

    Pameran tersebut kemudiannya berlanjutan hingga tahun 2016 dan pada tahun ini, tampil sekali lagi berwajah baru di bawah nama ‘Impact 2017’. Penyertaan mahasiswa pada tahun ini adalah seramai 54 orang sebagai tugasan tahun akhir mereka dalam program Seni dan Teknologi Kreatif.

    Antara pengunjung sedang mendengar penerangan daripada Dayang  Hidayah terhadap kesengsaraan seorang anak yang mengalami tekanan dalaman.
    Antara pengunjung sedang mendengar penerangan daripada Dayang Hidayah terhadap kesengsaraan seorang anak yang mengalami tekanan dalaman.
    Suatu ingat zaman kanak-kanaknya oleh Awang Mawardi.
    Suatu ingat zaman kanak-kanaknya oleh Awang Mawardi.
    Dk Siti Nurol, melalui karyanya ingin memberikan kesedaran terhadap orang awam  kepentingan pembuangan sampah untuk menjaga kebersihan alam sekitar.
    Dk Siti Nurol, melalui karyanya ingin memberikan kesedaran terhadap orang awam kepentingan pembuangan sampah untuk menjaga kebersihan alam sekitar.
    Seni Islam oleh Dayang Syakirah membawakan pengalaman spiritual kepada pengunjungnya.
    Seni Islam oleh Dayang Syakirah membawakan pengalaman spiritual kepada pengunjungnya.

    Pameran ini berlangsung sejak Rabu baru-baru ini di Galeri Seni, Dewan Canselor, Universiti Brunei Darussalam yang akan berakhir pada 20 Mei 2017. Pameran dibuka untuk kunjungan orang ramai dari Hari Isnin hingga Khamis serta Hari Sabtu, bermula jam 9 pagi hingga 7 malam.

    Para mahasiswa yang terlibat dalam pameran Impact 2017, turut berada di galeri pameran untuk menemui orang ramai yang ingin meneliti dan memahami secara mendalam fikiran serta amanat yang disampaikan oleh mereka melalui karya-karya yang telah dipamerkan.

    Antara isu-isu yang diketengahkan adalah berkenaan dengan hal-hal spiritual, kebudayaan, keindahan alam semula jadi, pencemaran alam, hak binatang yang terbiar, kemasyarakatan, seni Islam, suara atau bicara seorang anak muda, isu-isu gejala sosial, nilai etnik, penderitaan peribadi, kekeluargaan dan sebagainya, terhasil daripada pemikiran, pengalaman serta pemerhatian mahasiswa ini terhadap kehidupan sekitarnya.

    Perkataan Inggeris, ‘Impact’ adalah simbol bagaimana seni dan reka bentuk itu dapat memberikan kesan yang kuat kepada masyarakat.

    Di samping sebagai penyampaian amanat atau mesej terhadap ketidakadilan, kesengsaraan atau kesedihan yang berlaku dalam kehidupan, ia diharapkan dapat membuka mata dan fikiran ramai pengunjung terhadap hal-hal yang terjadi sekitar mereka, yang mungkin selama ini telah terlepas pandang.

    Selain itu, perkataan ‘Impact’ juga adalah gabungan daripada perkataan ‘Important’ dan ‘Act’ yang membawa erti suatu tindakan penting, iaitu bagaimana karya seni dan reka bentuk berperanan penting bertindak untuk mengubah masyarakat kita ke arah yang lebih baik. Ini dapat dilihat melalui karya-karya mahasiswa ini yang ternyata mengubah cara kita berfikir malah menjadi inspirasi untuk membawa perubahan dalam kehidupan.

    Bayangan detik lalu

    Salah satu karya yang agak menarik adalah refleksi bayang daripada rangka kayu kering yang dibentuk seperti manusia. Ia adalah ciptaan Awang Ayattul Akbar Tahir yang mengimbas zaman kanak-kanaknya pada ketika arwah neneknya sedang bermain menariknya menggunakan daun kelapa. Ia merupakan detik nostalgik yang mungkin tidak akan berulang semula. Justeru itu, Awang Ayattul ingin menyampaikan amanat agar menghargai detik-detik bersama keluarga selagi mempunyai peluang tersebut sebelum ia menghilang ditelan waktu.

    Menggunakan refleksi bayangan sebalik karya Awang Ayattul Akbar.
    Menggunakan refleksi bayangan sebalik karya Awang Ayattul Akbar.
    Karya Siti Nor Amalina menggambarkan perasaan kasihnya terhadap anak tercinta melalui gantungan lukisan-lukisan yang dilakarnya sendiri.
    Karya Siti Nor Amalina menggambarkan perasaan kasihnya terhadap anak tercinta melalui gantungan lukisan-lukisan yang dilakarnya sendiri.
    Dayang Kattaleya menghidupkan lakaran bunga sebalik lapisan lut sinar.
    Dayang Kattaleya menghidupkan lakaran bunga sebalik lapisan lut sinar.
    Arca sebalik tangan-tangan seni yang divisualkan oleh Awang Muhammad Khairul.
    Arca sebalik tangan-tangan seni yang divisualkan oleh Awang Muhammad Khairul.

    Keindahan seni yang luas

    Karya ‘Handy’ yang dibentuk oleh Awang Muhammad Khairul Nazmi agak unik dengan penampilan tangan-tangan putih di atas kotak hitam. Istimewanya, tangan-tangan tersebut melakukan pelbagai jenis profesion seni merangkumi fesyen, seni jalanan, penari, pemuzik, pelakon, penulis, jurugambar dan sebagainya memperlihatkan bidang seni yang luas, dan setiap artis mempunyai kreativiti mereka yang tersendiri melalui kemahiran dan kebolehan tangan yang tidak terungkapkan nilainya.

    Cinta ibu di sebalik bunga mekar

    Tiada kasih yang indah berbanding dengan cinta seorang ibu. Itulah yang ditampilkan oleh Dayang Nor Rozillah sebalik arca seorang wanita yang dihiasi dengan bunga-bunga kuning yang mekar.

    Melalui karya seni arcanya, Dayang Nor Rozillah ingin berkomunikasi perasaan dalaman penghayatnya, tentang isi hati mereka terhadap ibu tercinta, keluarga atau insan yang dikasihi.

    Setiap bunga yang mekar mengandungi kata-kata yang dituliskan oleh penghayatnya untuk insan yang mereka ingin katakan, tetapi tidak mampu untuk meluahkannya. Itulah bicara hati Dayang Nor Rozillah kepada ibu tercinta yang ingin membawa pengunjung masuk bersama ke dunia kasih sayang tersebut.

    Arca wanita dihiasi dengan bunga-bunga kuning yang mekar, dibangunkan oleh Dayang Nor Rozillah melambangkan kasih sayang seorang ibu.
    Arca wanita dihiasi dengan bunga-bunga kuning yang mekar, dibangunkan oleh Dayang Nor Rozillah melambangkan kasih sayang seorang ibu.
    Dayang Suhada menggambarkan jerih payah seorang ibu bekerja keras menghasilkan kuih-muih tradisi dan berdagang di gerai.
    Dayang Suhada menggambarkan jerih payah seorang ibu bekerja keras menghasilkan kuih-muih tradisi dan berdagang di gerai.
    Persahabatan yang terjalin sebalik keindahan bulan, dilakarkan oleh Dayang Noramalina membawa pengunjungnya seakan-akan terbang ke angkasa.
    Persahabatan yang terjalin sebalik keindahan bulan, dilakarkan oleh Dayang Noramalina membawa pengunjungnya seakan-akan terbang ke angkasa.
    Suatu kesengsaraan penduduk Kampong Ayer yang tidak mampu menyelamatkan rumah kediaman mereka daripada kebakaran, hasil karya Dayang Noor Aqilah.
    Suatu kesengsaraan penduduk Kampong Ayer yang tidak mampu menyelamatkan rumah kediaman mereka daripada kebakaran, hasil karya Dayang Noor Aqilah.

    Kebakaran Kampong Ayer

    Terlihat wajah seorang ayah dan anak sedang berpegang tangan dalam rumah yang terbakar. Kesedihan penghuni Kampong Ayer dihidupkan oleh Dayang Noor Aqilah melambangkan bagaimana kesengsaraan penduduk Kampong Ayer yang kehilangan rumah-rumah mereka, serta harta benda yang telah dijilat api. Kejadian itu merupakan pengalaman Dayang Noor Aqilah sendiri yang menyaksikan rumah-rumah terbakar di hadapannya semasa kecil.

    Rasa tertekan kerana tidak mampu melakukan apa-apa untuk membantu mereka, apatah lagi penghuninya yang sebenar yang tidak mampu menghentikan api daripada terus membakar tempat kediaman mereka.

    Karya Dayang Noor Aqilah tersebut secara tidak langsung telah menyentuh hati penghayatnya dalam memahami kesengsaraan masyarakat Kampong Ayer.

    Berbicara melalui karya seni

    Banyak lagi karya-karya yang akan menarik ditampilkan oleh para mahasiswa program Seni dan Teknologi Kreatif yang tidak dapat digambarkan oleh penulis secara keseluruhannya.

    Mereka membicarakan pelbagai perspektif kehidupan melalui karya-karya mereka. Dayang Nonnie yang berpengalaman menjadi mangsa prejudis oleh orang sekitarnya, Dk. Nur Izzatul yang mengetengahkan keindahan seni tradisi Brunei, Dayang Hurin Ahmad tentang manfaat amalan membaca, Awang Hazirin Ariffin mengenai kehebatan orang kurang upaya dalam dunia Olimpik, Dayang Wardah tentang pencemaran Sungai Brunei membawa kematian kehidupan laut, Awang Mawardi tentang harapan seorang nenek terhadap kejayaan cucunya, Dayang Syakirah membawa seni Islam sebagai pengabdian kepada Tuhan dan banyak lagi amanat-amanat yang dibawakan oleh pengkarya-pengkarya muda ini.

    Pameran Impact 2017 ringkasnya telah membuka mata dan minda kita terhadap dunia sebenar tentang kehidupan yang kita lalui.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda