Oleh Sim Y. H.
BANDAR SERI BEGAWAN, 7 MAC – Negara Brunei Darussalam telah mencatatkan nilai jumlah perdagangan sebanyak $2,51.7 juta pada November 2021, iaitu peningkatan sebanyak 86.1 peratus daripada $1,263.4 juta pada bulan yang sama 2020 dengan perubahan bulan-ke-bulan, jumlah perdagangan bagi November 2021 meningkat sebanyak 3.7 peratus berbanding Oktober 2021.
Menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh Jabatan Perancangan Ekonomi dan Statistik (JPES), Kementerian Kewangan dan Ekonomi, di sini, jumlah eksport meningkat sebanyak 144 peratus tahun-ke-tahun kepada $1,331.4 juta berbanding $545.7 juta pada November 2020.
Ini terutamanya disebabkan peningkatan eksport bahan api galian kepada $1,080.9 juta pada November 2021 daripada $405.8 juta pada November 2020 dan juga eksport kimia kepada $217.9 juta pada November 2021 daripada $118.6 juta pada November 2020.
Peningkatan eksport bahan api galian terutamanya didorong oleh peningkatan dalam nilai eksport minyak mentah, gas asli cecair (LNG) dan produk petroleum daripada aktiviti hiliran.
Peningkatan eksport minyak mentah adalah disebabkan peningkatan harga purata kepada AS$83.91 setong pada November 2021 daripada AS$41.32 setong pada November 2020 dan peningkatan jumlah isi padu kepada 67.63 ribu tong sehari pada November 2021 daripada 48.73 ribu tong sehari pada November 2020.
Begitu juga bagi eksport LNG, yang mana peningkatannya adalah disebabkan peningkatan harga purata kepada AS$10.94 per MMBtu pada November 2021 daripada AS$6.06 per MMBtu pada November 2020 serta peningkatan jumlah isi padu kepada 769,174 MMBtu/sehari pada November 2021 daripada 675,165 MMBtu/sehari pada November 2020.
Manakala nilai eksport produk petroleum daripada aktiviti hiliran meningkat kepada $507.6 juta pada November 2021 daripada $175.8 juta pada November 2020, yang mana komoditi utama ialah bahan api diesel automotif.
Sementara itu, daripada segi komoditi mengikut seksyen, bahan api galian merupakan penyumbang utama kepada eksport Negara Brunei Darussalam iaitu 81.2 peratus, diikuti dengan kimia iaitu 16.4 peratus dan jentera dan kelengkapan pengangkutan iaitu 0.8 peratus.
Pasaran eksport utama pada November 2021 adalah Australia iaitu 22.9 peratus, diikuti dengan Jepun iaitu 21.3 peratus dan Singapura iaitu 16.6 peratus di mana komoditi eksport terbesar ke negara Australia, Jepun dan Singapura adalah bahan api galian.
Sementara itu, bagi import pula, jumlah nilai menunjukkan peningkatan kepada $1,020.3 juta pada November 2021 daripada $717.7 juta pada November 2020 terutamanya disebabkan oleh peningkatan import bahan api galian.
Lima komoditi import utama pada bulan ini, ialah bahan api galian iaitu 68.4 peratus, diikuti oleh jentera dan kelengkapan pengangkutan iaitu 11.6 peratus, makanan iaitu 6.2 peratus, kimia iaitu 5.3 peratus dan barang-barang keluaran kilang iaitu 4.1 peratus.
Mengikut kategori penggunaan akhir, import barang perantaraan menyumbang sebanyak 57.9 peratus daripada jumlah import diikuti oleh import barang modal iaitu 37.9 peratus dan barang penggunaan iaitu 4.2 peratus.
Daripada segi import mengikut rakan dagangan, sumbangan terbesar adalah dari Malaysia iaitu 34.3 peratus, diikuti oleh Rusia iaitu 26.7 peratus dan Jepun iaitu 12.6 peratus dengan komoditi import terbesar ialah bahan api galian.
Mengikut mod pengangkutan, pada November 2021, peratus yang tertinggi bagi kedua-dua eksport dan import adalah mod pengangkutan laut berjumlah $2,246.4 juta iaitu 95.5 peratus, diikuti oleh pengangkutan udara iaitu $76.1 juta atau 3.2 peratus dan melalui darat iaitu $29.2 juta atau 1.2 peratus.
Perangkaan Perdagangan Barangan Antarabangsa (IMTS) bagi Negara Brunei Darussalam menggunakan General System bagi merekodkan perangkaan perdagangan yang meliputi import, eksport domestik dan eksport semula.
Laporan penuh IMTS bagi November 2021 boleh didapati melalui laman sesawang JPES di www.deps.gov.bn.