Nilai karya MOAS dibentang

Oleh Ak Zaki Kasharan

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 13 Sept – Nilai-nilai sastera karya Muda Omar ‘Ali Saifuddien (MOAS) dikupas pada Seminar Antarabangsa Kesusasteraan Asia Tenggara (SAKAT) hari ini yang berlangsung di Balai Sarmayuda, Dewan Bahasa dan Pustaka, Berakas.

Pensyarah kanan Fakulti Sastera dan Sains Sosial (FASS), Universiti Brunei Darusslam (UBD), Dr Haji Ramlee bin Haji Tingkong, dalam pembentangan kertas kerjanya pada seminar itu pagi tadi, mengupas karya MOAS bertajuk Unsur-unsur Kepimpinan Dalam Syair Perlembagaan Negeri Brunei yang menekankan nilai-nilai kebijaksanaan MOAS seperti yang dinukilkan dalam syair tersebut.

Menurut Dr Haji Ramlee, MOAS merupakan seorang pemimpin besar berjiwa rakyat yang merencana pembangunan Negara Brunei Darussalam. Apabila merujuk kepada syair berkenaan, ia bukan sahaja hasil karya sastera, malahan boleh dianggap sebagai dokumen atau artifak penting.

Ia juga menyampaikan pandangan tajam seorang putera diraja yang bercita-cita tinggi dan dapat menyelami hati nurani rakyatnya, penuh dengan unsur nasihat dengan tamsil dan ibarat yang diasaskan daripada pengalaman dan kewibawaan daya kepimpinannya, tambahnya.

Turut mengadakan pembentangan ialah Dr Zhang Jingling dari China yang menumpukan tajuk ‘Rekonstruksi Sastera Rakyat: Satu Kajian Tentang Animasi Pada Zaman Dahulu’ dan Datuk Zainal Abidin bin Borhan dari Malaysia yang membentangkan mengenai ‘Waad, Wasiat dan Nasihat dalam Sulalat Al-Salatin: Iktibar untuk kepimpinan Melayu.’

Dr Haji Ramlee membentangkan kertas kerjanya yang bertajuk ‘Unsur-Unsur Kepimpinan Dalam Syair Perlembagaan Negeri Brunei Karya Muda Omar ‘Ali Saifuddien’ yang berlangsung di Balai Sarmayuda, Dewan Bahasa dan Pustaka, Berakas, kelmarin.

Datuk Zainal Abidin dalam kertas kerjanya mengungkapkan pemikiran, idea, ideologi dan pandangan dunia mengenai kepimpinan Melayu yang mana telahan awal adalah bersumberkan perumpamaan atau ungkapan dan cerita penglipur lara Melayu. Sulalat al-salatin ditelaah untuk memahami naratif kontekstual kepimpinan Melayu tradisi melalui waad, wasiat dan nasihat yang dituturkan oleh raja dan pembesar Melayu tradisi selaku khalifat- ul-ardh di muka bumi.

SAKAT yang diselenggarakan Negara Brunei Darussalam selaku tuan rumah bagi Majlis Sastera Asia Tenggara (MASTERA) tahun ini merupakan kegiatan dwitahunan dianjurkan bersama negara-negara MASTERA terdiri daripada Malaysia, Indonesia, Singapura dan Brunei Darussalam.

Selain itu, perkongsian ilmu melalui SAKAT ini juga membincangkan sub tema seminar, antaranya Pembangunan Sosial Melalui Strategi Budaya; Sastera dan Industri Kreatif; Pengukuhan Nilai Kepimpinan Melalui Sastera; Media Baharu Sebagai Penunjang Kesusasteraan; Sastera dan Perubahan Sosial Global Abad Ke-21; dan Sastera dan Citra Bangsa.