Thursday, April 25, 2024
30.9 C
Brunei

    -

    Nilai keluaran kasar industri pertanian meningkat

    Oleh Sim Y. H.

    BANDAR SERI BEGAWAN, 3 NOV – Pencapaian keluaran kasar hasil sektor pertanian, perikanan dan agrimakanan di Negara Brunei Darussalam pada 2021 telah menunjukkan peningkatan dari segi tan metrik serta juga nilai.

    “Nilai keluaran kasar bagi industri pertanian yang merangkumi industri ternakan, tanaman dan padu meningkat sebanyak 32.12 peratus iaitu dari $320.63 juta pada 2020 kepada $423.62 juta pada 2021.”

    Perangkaan nilai keluaran kasar berkenaan dikongsi oleh Setiausaha Tetap di Kementerian Sumber-sumber Utama dan Pelancongan (KSSUP), Hajah Tutiaty binti Haji Abdul Wahab dalam kata alu-aluannya pada Perasmian Ekspo Mini Hari Peladang, Petani, Penternak dan Nelayan ke-12 (HPPPN ke-12) yang diadakan di Dewan Muhibah, Lapangan Terbang Lama, Berakas, hari ini.

    Sementara itu, Hajah Tutiaty turut mengongsikan bagi industri perikanan nilai keluaran kasar telah meningkat sebanyak 37.7 peratus iaitu dari $139.05 juta pada 2020 kepada $190.95 juta pada 2021.

    Manakala, bagi industri agrimakanan nilai keluaran kasar meningkat sebanyak 10.96 peratus iaitu dari $150.23 juta pada 2020 kepada $166.69 juta pada 2021.

    Antara syarikat yang mengikuti pameran semasa HPPPN ke-12 di Dewan Muhibah, Lapangan Terbang Lama, Berakas, kelmarin.

    Selain pandemik COVID-19 dan cabaran-cabaran yang dihadapi, Hajah Tutiaty menyatakan KSSUP sentiasa berusaha membantu pengusaha-pengusaha tempatan menangani isu-isu seperti kekurangan buruh dan bahan mentah.

    Ekspo mini itu juga dihasratkan untuk mengeratkan kerjasama antara sektor-sektor swasta dan agensi-agensi kerajaan dan bukan kerajaan dalam menerokai dan memperkembangkan pasaran tempatan dan juga pasaran eksport komoditi pertanian, perikanan dan agrimakanan.

    Majlis diteruskan dengan perasmian ekspo mini dan penyampaian anugerah khas oleh Menteri Sumber-sumber Utama dan Pelancongan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Abdul Manaf bin Haji Metussin.

    Pada acara tersebut, seramai 48 orang pengusaha dan peladang menyertai petak jualan yang terdiri daripada 28 pengusaha daripada industri tanaman, 18 daripada industri agrimakanan dan dua buah syarikat daripada industri ternakan.

    Manakala penjualan produk hasil-hasil industri perikanan pula disertai oleh seorang pengusaha dari industri tangkapan ikan, tiga pengusaha dari industri akuakultur dan 17 pengusaha dari industri pemprosesan makanan laut.

    Selain pameran, beberapa program dan aktiviti seperti seminar turut diadakan termasuk demonstrasi produk pertanian dan perikanan seperti pembuatan keropok udang, keropok lekor dan telur masin.

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Hingga 160 paus pilot terdampar di Australia, sekurang-kurangnya 26 maut

    MELBOURNE, 25 APRIL - Sehingga 160 ekor paus pilot bersirip panjang terdampar di pantai barat Australia hari ini dan sekurang-kurangnya 26 maut sebelum pihak...