Oleh Yusrin Junaidi
BANDAR SERI BEGAWAN, 15 FEB – Nilai keluaran kasar sektor-sektor sumber utama tahun lalu telah mencatatkan peningkatan signifikan lebih kurang 25 peratus daripada $651 juta pada tahun 2020 kepada $814 juta pada tahun 2021.
Peningkatan itu disumbangkan industri pertanian dan agrimakanan sebanyak 23.5 peratus daripada $471 juta pada tahun 2020 kepada $582 juta pada tahun 2021 dan industri perikanan sebanyak 36.7 peratus daripada $139 juta pada tahun 2020 kepada $191 juta pada tahun 2021.
Menteri Sumber-sumber Utama dan Pelancongan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Ali bin Apong mendedahkan peningkatan signifikan itu pada sesi muzakarah bersama ahli-ahli Majlis Mesyuarat Negara (MMN) yang berlangsung di Dewan Setia Pahlawan, Kementerian Sumber-sumber Utama dan Pelancongan (KSSUP).
Menurutnya, meskipun berdepan cabaran berikutan wabak COVID-19 sejak awal tahun 2020, sektor-sektor sumber utama yang merangkumi industri pertanian dan agrimakanan, perikanan dan perhutanan telah mendapat sokongan padu daripada semua pihak, terutama para pengusaha, petani, peladang, penternak dan nelayan sehingga mampu mencatatkan peningkatan positif pada tahun 2021.
Ini merupakan hasil inisiatif-inisiatif dan projek-projek dilaksanakan kementerian dan para pengusaha dalam industri tersebut.
Yang Berhormat Dato menjelaskan, walaupun penularan wabak COVID-19 secara amnya tidak menjejaskan prestasi keluaran kasar industri sumber-sumber utama namun
seperti mana kebanyakan negara dunia, penularan wabak ini telah memberikan kesan yang ketara kepada pertumbuhan serta perkembangan aktiviti-aktiviti perekonomian berkaitan dengan perkhidmatan pelancongan di negara ini, berikutan terjejasnya jumlah ketibaan pelancong.
Sehubungan itu, kementerian melalui Jabatan Kemajuan Pelancongan bersama Lembaga Pelancongan Brunei telah melaksanakan beberapa inisiatif sebagai usaha membantu merangsang aktiviti-aktiviti ekonomi berkaitan dengan perkhidmatan pelancongan termasuklah inisiatif Selera Bruneiku yang menawarkan juadah-juadah tempatan sebagai tarikan utama; pakej-pakej pelancongan domestik berasaskan komuniti yang mengetengahkan keunikan serta kepelbagaian budaya dan tradisi kehidupan masyarakat setempat serta penganjuran pelbagai aktiviti-aktiviti menarik melalui program Festival Disember Brunei dan sebagainya, tambahnya.
Sesi muzakarah dihadiri oleh ahli-ahli MMN itu diketuai oleh Yang Berhormat Dayang Nik Hafimi binti Abdul Haadii. Turut hadir ialah Setiausaha Tetap KSSUP, Hajah Tutiaty binti Haji Abdul Wahab; Timbalan Setiausaha Tetap 1 KSSUP, Haji Mohd Yusree bin Haji Junaidi dan para pengarah jabatan dan ketua-ketua bahagian serta pegawai kanan kementerian tersebut serta jabatan-jabatan di bawahnya.
Yang Berhormat Dayang Nik Hafimi semasa ucapan balas menyentuh mengenai penglibatan belia dalam bidang pertanian dan perikanan yang menurutnya sangat penting bagi memastikan generasi masa hadapan menerajui usaha-usaha yang telah dijalankan dan akan dilaksanakan.
Menurutnya pihak kementerian melalui jabatan-jabatan relevan akan melaksanakan inisiatif-inisiatif yang sedia ada, di samping terus mengenal pasti strategi-strategi baharu untuk menggalakkan dan menarik golongan belia ini agar berminat meneroka peluang-peluang ekonomi yang mampu diraih dalam bidang pertanian dan perikanan.
“Alhamdulillah, melalui inisiatif dilaksanakan setakat ini, beberapa pengusaha belia telah bergiat aktif dalam bidang pertanian dan perikanan dengan seramai 104 pengusaha yang masih aktif dalam projek rintis pertanian, 39 daripadanya adalah pengusaha belia,” katanya.
Manakala 49 pengusaha diberikan tapak tambahan untuk aktiviti perladangan, 19 mengusahakan industri perikanan dan 11 lagi belia aktif dalam penternakan ikan dan udang dalam sangkar serta kolam, tambah Yang Berhormat Dayang Nik Hafimi. Sesi muzakarah diteruskan dengan taklimat perkembangan dan prestasi pencapaian industri-industri sumber-sumber utama dan pelancongan disampaikan oleh setiausaha tetap KSSUP diikuti sesi perbincangan dan soal jawab.