LONDON, 16 Jan – Pemain sayap Algeria, Riyad Mahrez mungkin bernilai lebih daripada 100 juta pound jika dia meninggalkan kelab Leicester City pada akhir musim ini, kata pengurus Foxes, Claude Puel hari ini.
“Ia satu spekulasi dan kami tidak boleh membalas semua spekulasi itu dengan maklumat,” kata Puel pada sidang media. “Mungkin pada musim panas ini, nilainya lebih daripada 100 juta pound.
“Riyad juga berdepan dengan situasi sama. Ini semua khabar angin, spekulasi membabitkannya dan pemain lain,” kata Puel mengenai Mahrez, salah seorang bintang Leicester yang mencipta kejutan dengan menjulang Liga Perdana Inggeris pada musim 2015/16.
“Kita boleh lihat Riyad tersenyum dan menikmati bola sepak bersama rakan sepasukan, begitu juga ketika menjalani latihan.
“Selepas sesi latihan, dia terus bermain dan saya mahu dia mendapat lebih rehat.
“Semua khabar angin dan spekulasi mengenai Riyad ini, adakah wartawan mahu dia meninggalkan kelab ini?”
Mahrez bagaimanapun pernah diminta untuk meninggalkan kelab Midlands itu sewaktu pramusim namun hanya Roma yang membuat bidaan serius, bagaimanapun jumlah 32 juta pound yang dicadangkan oleh kelab gergasi Itali itu, belum cukup meyakinkan Leicester untuk menjualnya.
Perkembangan terbaru membayangkan kelab bersedia membuat pelaburan lebih untuk pemain apabila bintang Belanda Virgil van Dijk menyertai Liverpool dari satu lagi pasukan Liga Perdana Inggeris Southampton pada harga 75 juta pound awal bulan ini, dan merupakan rekod dunia untuk seorang pemain pertahanan. – AFP