‘Nilai-nilai baik jadikan bandar raya bersih’

KOTA KINABALU, 22 OGOS – Ketua Menteri Datuk Seri Mohd Shafie Apdal mahu Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) menumpukan usaha penerapan nilai-nilai baik dalam kalangan penduduk dan penghuni bagi mewujudkan sebuah bandar raya yang lebih bersih.

Menurut beliau dalam usaha membangunkan bandar raya bukan hanya membina bangunan pencakar langit tetapi perlu ada nilai-nilai baik dalam aspek kebersihan serta keharmonian antara masyarakat dan membabitkan keselamatan.

“Ini merupakan usaha yang perlu dilakukan oleh pihak pengurusan DBKK,” katanya ketika ditemui pemberita selepas melancarkan Majlis DBKK ‘KK Moving Forward’ di sini, hari ini.

Beliau berkata penerapan nilai-nilai baik ini perlu dalam aspek menangani pembuangan sampah di bandar raya ini dengan pihak DBKK memungut 800 tan sampah pelbagai jenis pada setiap hari.

Katanya DBKK membelanjakan RM150,000 pada tahun lepas untuk mengurus sampah bagi mencantikkan kawasan bandar raya ini.

Terdahulu dalam ucapannya, Mohd Shafie berkata menerusi ‘KK Moving Forward’, DBKK ada hala tuju jelas menjadikan Kota Kinabalu sebagai bandar raya penting dengan menumpukan aspek kebersihan, prasarana dan kesejahteraan penduduknya.

Menurutnya ia sesuai dengan kedudukan Kota Kinabalu sebagai ibu kota dan menjadi pintu masuk kepada pelancong ke negeri ini.

Mohd Shafie berkata pelancongan menjadi tarikan utama kepada bandar raya ini dengan keindahan semula jadinya berhadapan dengan Laut China Selatan, mempunyai pulau menarik yang terletak tidak jauh dari kawasan bandar raya dan kawasan teluk yang menarik. – Bernama

Ketua Menteri Datuk Seri Mohd Shafie Apdal ketika berucap sempena pelancaran Majlis Pecah Tanah Hotel Grand Liberty, kelmarin. – Bernama