Nilai Perdagangan negara meningkat 178.6 peratus

Oleh Salawati Haji Yahya

BANDAR SERI BEGAWAN, 8 SEPT – Nilai perdagangan Negara Brunei Darussalam bagi Jun 2021 mencatatkan peningkatan sebanyak 178.6 peratus iaitu $3,154.9 juta berbanding $1,132.6 juta pada bulan yang sama 2020.

Manakala itu, bagi perubahan bulan-ke-bulan pula jumlah perdagangan bagi Jun 2021 meningkat sebanyak 70.5 peratus berbanding Mei 2021, menurut Perangkaan Perdagangan Antara-bangsa (IMTS) yang dikeluarkan Jabatan Perancangan Ekonomi dan Statistik (JPES), hari ini.

Sementara itu, menurut JPES lagi, jumlah eksport meningkat sebanyak 145.8 peratus tahun-ke-tahun kepada $1,320.7 juta berbanding $537.4 juta pada Jun 2020.

Ini terutamanya disebabkan peningkatan eksport bahan api galian kepada $991.8 juta untuk Jun 2021 daripada $417.6 juta (Jun 2020) dan juga eksport kimia kepada $302.2 juta (Jun 2021) daripada $109.1 juta (Jun 2020).

Peningkatan eksport bahan api galian terutamanya didorong oleh peningkatan dalam nilai eksport minyak mentah, eksport gas asli cecair (LNG), dan eksport produk petroleum daripada aktiviti hiliran.

Rajah menunjukkan perbezaan nilai perdagangan antara Jun 2020 dan Jun 2021. – Gambar serahan JPES

Di samping itu, peningkatan eksport minyak mentah terutamanya disebabkan peningkatan harga purata kepada AS$73.82 setong (Jun 2021) daripada AS$34.52 setong (Jun 2020).

Bagi eksport LNG pula, peningkatan disebabkan oleh peningkatan harga purata kepada AS$9.16 per MMBtu (Jun 2021) daripada AS$4.26 per MMBtu (Jun 2020).

Dalam pada itu, jumlah isi padu bagi kedua-dua eksport minyak mentah dan LNG telah mencatatkan penurunan berbanding dengan tahun sebelumnya.

Dari segi komoditi mengikut seksyen pula, JPES menyatakan, bahan api galian merupakan penyumbang utama kepada eksport Negara Brunei Darussalam iaitu mencatatkan 75.1 peratus, diikuti dengan kimia sebanyak 22.9 peratus serta jentera dan kelengkapan
pengangkutan (0.8 peratus).

Selain itu, pasaran eksport utama pada Jun 2021 adalah Singapura yang mencatatkan 27.4 peratus diikuti oleh Republik Rakyat China sebanyak 23.1 peratus dan Jepun pula 18
peratus.

Bagi import pula, jumlah nilai menunjukkan peningkatan kepada $1,834.2 juta (Jun 2021) daripada $595.2 juta (Jun 2020) terutamanya disebabkan peningkatan import bahan api galian yang sebahagian besarnya digunakan sebagai input bagi penghasilan produk petrokimia.

Manakala itu, lima komoditi import utama pada bulan ini adalah bahan api galian (84.6 peratus) diikuti oleh jentera dan kelengkapan pengangkutan (5.7 peratus), makanan (3.1 peratus), barang-barang keluaran kilang (2.5 peratus) dan kimia (2.1 peratus).

Mengikut kategori penggunaan akhir pula, import barang perantaraan menyumbang sebanyak 56.8 peratus dari jumlah import diikuti oleh import barang modal mencatat 40.7 peratus dan barang penggunaan (2.5 peratus).

Dari segi import mengikut rakan dagangan, sumbangan terbesar adalah dari Arab Saudi (60.7 peratus) diikuti oleh Rusia (11.1 peratus) dan Malaysia (7.9 peratus) yang mana komoditi import terbesar dari Arab Saudi, Rusia dan Malaysia adalah bahan api galian.

Mengikut mod pengangkutan, pada bulan Jun 2021, peratus yang tertinggi adalah mod pengangkutan laut berjumlah $3,074.4 juta (97.4 peratus) dan ini diikuti oleh pengangkutan udara ($56.9 juta atau 1.8 peratus) dan melalui darat ($23.4 juta atau 0.7 peratus).

IMTS bagi Negara Brunei Darussalam menggunakan General System bagi merekodkan perangkaan perdagangan yang meliputi import, eksport domestik dan eksport semula.

Laporan penuh IMTS bagi bulan Jun 2021 boleh didapati melalui laman sesawang JPES di www.deps.gov.bn.