Saturday, April 20, 2024
26.6 C
Brunei

    -

    Nilai Perdagangan negara meningkat 70.9% bagi April 2022

    Oleh Ak Zaki Kasharan

    BANDAR SERI BEGAWAN, 8 OGOS – Negara Brunei Darussalam telah mencatatkan nilai jumlah perdagangan sebanyak $3,042.6 juta pada April 2022, iaitu peningkatan sebanyak 70.9 peratus daripada $1,780.1 juta pada bulan yang sama 2021. 

    Manakala itu, bagi perubahan bulan-kebulan, jumlah perdagangan bagi April 2022 meningkat sebanyak 21.6 peratus berbanding Mac 2022, berdasarkan Perangkaan Perdagangan Barangan Antarabangsa (IMTS) yang dikongsikan Jabatan Perancangan Ekonomi dan Statistik (JPES), Kementerian Kewangan dan Ekonomi dalam kenyataan yang dikeluarkan hari ini.

    Menurut JPES lagi, jumlah eksport meningkat sebanyak 71.2 peratus tahun-ketahun kepada $1,726.0 juta berbanding $1,008.3 juta pada April 2021. Ini terutamanya disebabkan oleh peningkatan eksport bahan api galian kepada $1,316.9 juta (April 2022) daripada $769.5 juta (April 2021). 

    Di samping itu juga, eksport kimia meningkat kepada $336.9 juta pada April 2022 daripada $201.2 juta bagi bulan yang sama 2021. Peningkatan eksport bahan api galian didorong oleh peningkatan nilai eksport gas asli cecair (LNG) dan produk petroleum. Peningkatan eksport LNG terutamanya disebabkan peningkatan harga purata kepada AS$12.01 per MMBtu pada April 2022 daripada AS$7.50 per MMBtu pada April 2021. 

    Manakala itu, nilai eksport produk petroleum daripada aktiviti hiliran meningkat kepada $774.0 juta, yang mana komoditi utama adalah bahan api diesel automotif.

    Dari segi komoditi mengikut seksyen, bahan api galian merupakan penyumbang utama kepada eksport Negara Brunei Darussalam iaitu 76.3 peratus, diikuti dengan Bahan Kimia (19.5 peratus) dan jentera dan kelengkapan pengangkutan (2.4 peratus).

    Pasaran eksport utama pada April 2022 adalah Australia dengan 20.1 peratus, diikuti oleh Republik Rakyat China (15.6 peratus), dan Singapura (14.1 peratus).

    Komoditi eksport terbesar ke Australia dan Singapura adalah bahan api galian, manakala, ke Republik Rakyat China adalah bahan kimia.

    Bagi import pula, jumlah nilai menunjukkan peningkatan kepada $1,316.6 juta (April 2022) daripada $771.8 juta (April 2021) terutamanya disebabkan oleh peningkatan import bahan api galian.

    Lima komoditi import utama pada bulan ini adalah bahan api galian dengan 72.5 peratus diikuti oleh jentera dan kelengkapan pengangkutan (7.4 peratus), bahan kimia (6.7 peratus), makanan (5.7 peratus) dan barang keluaran kilang (3.3 peratus).

    Mengikut Kategori Penggunaan Akhir, import barang perantaraan menyumbang sebanyak 57.8 peratus dari jumlah import diikuti oleh import barang modal (38.2 peratus) dan barang penggunaan (4.0 peratus).

    Dari segi import mengikut rakan dagangan, sumbangan terbesar adalah dari Malaysia dengan 21.2 peratus, diikuti oleh Emiriah Arab Bersatu (12.8 peratus) dan Qatar (12.6 peratus) dengan komoditi import terbesar adalah bahan api galian.

    Mengikut mod pengangkutan, pada April 2022, peratus tertinggi bagi kedua-kedua eksport dan import adalah mod pengangkutan laut berjumlah $2,928.4 juta atau 96.2 peratus. Ini diikuti oleh pengangkutan udara ($81.4 juta atau 2.7 peratus) dan melalui darat ($32.8 juta atau 1.1 peratus).

    IMTS bagi Negara Brunei Darussalam menggunakan general system bagi merekodkan perangkaan perdagangan yang meliputi import, eksport domestik dan eksport semula. Laporan penuh IMTS bagi April 2022 boleh didapati melalui laman sesawang JPES di https://deps.mofe.gov.bn.

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    5 pekerja jadi sasaran serangan nekad

    KARACHI, 19 APRIL - Seorang pengebom nekad meletupkan jaketnya yang sarat dengan bahan letupan berhampiran sebuah van yang membawa pekerja kereta warga Jepun, yang...