Nilai ringgit semakin stabil

KUALA LUMPUR, 24 Julai – Nilai ringgit semakin stabil dan meningkat sebanyak 4.6 peratus sehingga 21 Julai lepas, berbanding dolar Amerika pada tahun ini, kata Menteri Kewangan Kedua Datuk Seri Johari Abdul Ghani.

Beliau berkata peningkatan itu dipengaruhi beberapa faktor antaranya peningkatan harga minyak mentah dunia (Brent) dalam tempoh enam bulan pertama tahun ini dan kemasukan semula aliran dana portfolio pelabur bukan pemastautin ke dalam pasaran kewangan Malaysia.

Menurutnya, seperti mana-mana pergerakan kadar pertukaran mata wang yang akan memberi keuntungan dan kerugian kepada sektor tertentu, nilai ringgit yang lebih kukuh akan mengurangkan kos perniagaan mempunyai kandungan import tinggi, mengurangkan harga barang import dan seterusnya menggalakkan perbelanjaan domestik.

“Peningkatan nilai mata wang ringgit sejak awal tahun ini disumbangkan oleh petunjuk-petunjuk ekonomi utama Malaysia yang semakin positif iaitu pertumbuhan eksport dan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) yang lebih tinggi.

“Kegiatan ekonomi yang semakin menggalakkan juga dapat membantu meningkatkan sentimen pelabur dan seterusnya menyokong pengukuhan nilai ringgit,” kata Johari ketika menjawab soalan Datuk Seri Ahmad Hamzah (BN-Jasin) mengenai impak berganda nilai ringgit yang mengukuh, pada Persidangan Dewan Rakyat, hari ini.

Nilai ringgit semakin stabil yang dipengaruhi oleh beberapa faktor antaranya peningkatan harga minyak mentah dunia (Brent) dalam tempoh enam bulan pertama tahun ini. – AFP
Nilai ringgit semakin stabil yang dipengaruhi oleh beberapa faktor antaranya peningkatan harga minyak mentah dunia (Brent) dalam tempoh enam bulan pertama tahun ini. – AFP

Selain itu, katanya, langkah pembangunan pasaran yang diperkenalkan pada akhir 2016 dan April 2017 oleh Jawatankuasa Pasaran Kewangan (FMC) dan Bank Negara Malaysia (BNM) juga menyumbang kepada kestabilan nilai ringgit dan turut berperanan mengimbangkan penawaran dan permintaan mata wang asing di pasaran mata wang tempatan.

Jelasnya, kesan langkah pembangunan pasaran dapat dilihat di mana aktiviti kontrak hadapan tanpa serahan dalam pasaran luar pesisir telah menurun, manakala kemudahruapan nilai ringgit juga berkurangan dengan ketara.

Menjawab soalan Ahmad mengenai impak berganda harga minyak mentah pula, Johari berkata harga minyak mentah dunia (Brent) meningkat kepada US$52.20 setong dalam tempoh enam bulan pertama 2017 berbanding US$40.16 setong bagi tempoh yang sama 2016. – Bernama