BANDAR SERI BEGAWAN, 17 MAC – Pihak Berkuasa Industri Teknologi Info-Komunikasi Brunei Darussalam (AITI) telah mengumumkan edisi terkini Laporan Isi Rumah ICT dan Laporan Perniagaan ICT Brunei Darussalam.
Kedua-dua laporan berkenaan adalah hasil daripada kaji selidik yang dijalankan dari Oktober 2018 hingga Mei 2019 yang bermatlamat untuk menilai takat akses, penggunaan, pelaksanaan dan mampu milik perkhidmatan ICT dalam kalangan pengguna dan perniagaan di negara ini.
Laporan Isi Rumah ICT Brunei Darussalam edisi keempat mendapati bahawa 95 peratus responden menggunakan internet dengan penggunaan tertinggi bagi mencari maklumat dan pengetahuan am, menghantar pesanan dan telesidang serta sosial media.
Bagi aplikasi media sosial, lebih ramai responden menggunakan Facebook pada 60.6 peratus sementara 57.6 peratus menggunakan Instagram dan 57.2 peratus menggunakan YouTube.
Bagi aktiviti web menggunakan telefon bimbit, majoriti responden membayar bil elektrik secara online pada 45.7 peratus degan 23.6 peratus menggunakan aplikasi TelBru dan 20.8 peratus menggunakan DST MBB.
Mengenai purata perbelanjaan bulanan, responden berbelanja antara $51 – $100 bagi jalur lebar rumah mudah alih dan jumlah sama bagi jalur lebar kekal. Laporan menunjukkan bahawa 42 peratus responden menganggap purata kelajuan internet adalah baik dan 58.7 peratus menganggap kos internet adalah sesuai. Sementara itu, Laporan Perniagaan ICT Brunei Darussalam 2019 dalam edisi pertamanya telah menggambarkan peranan ICT dalam semua sektor ekonomi dan industri,
Antara penemuan yang dilaporkan adalah kebanyakan perniagaan telah melaksanakan sistem-sistem ICT dan terus mempertingkatkannya untuk kekal bersaing dalam industri masing-masing. Sebanyak 96 peratus perniagaan yang menyertai kaji selidik adalah daripada perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) dengan 90 peratus perusahaan mempunyai akses kepada internet dan 56 peratus perniagaan mempunyai akses komputer bagi kakitangan mereka.
Menghantar dan menerima e-mel serta mendapatkan maklumat adalah aktiviti-aktiviti berkaitan perniagaan tertinggi yang dilakukan menerusi internet dengan masing-masing pada 73.1 peratus dan 72 peratus, diikuti penyediaan perkhidmatan pelanggan pada 62 peratus, pembayaran dalam talian 61 peratus dan perkhidmatan dalam talian pada 60.3 peratus. Lebih 75 peratus perniagaan menganggap kualiti internet dalam jarak sederhana dan baik dan 61 peratus perniagaan menilai langganan internet mereka hanya sesuai. Sebanyak 24 peratus perniagaan juga mempunyai laman sesawang mereka sendiri dengan hanya 11 peratus mempunyai platform e-perdagangan lengkap yang membolehkan transaksi pembayaran dalam talian.
Bagi penggunaan perniagaan pada media sosial, majoriti perniagaan menggunakan WhatsApp iaitu 80 peratus sementara 31 peratus menggunakan Facebook dan 28 peratus menggunakan Instagram.
Sebanyak 16 peratus perniagaan menjual produk mereka secara online (e-Perdagangan) dengan kebanyakan pelanggan membayar tunai (39 peratus) diikuti kad kredit (22 peratus) dan kad debit (18 peratus).
Versi penuh kedua-dua laporan berkenaan boleh didapati menerusi laman sesawang AITI, https://www.aiti.gov.bn/SitePages/Surveys.aspx.
Bagi pertanyaan lanjut, orang ramai boleh menghantar e-mel menerusi info@aiti.gov.bn atau hubungan talian 2323232.