Oleh Ak Zaki Kasharan
BANDAR SERI BEGAWAN, 6 Ogos – Regata Brunei Darussalam tahun ini akan dijadikan sebagai salah satu siri acara bagi memberi nilai tambah kepada suasana Sambutan Perayaan Ulang Tahun Hari Keputeraan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam ke-72 tahun.
Setiausaha Tetap (Bandaran dan Daerah) Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri, Awang Salminan bin Haji Burut pada sidang media petang tadi berkata, acara yang bakal berlangsung pada 12 Ogos ini dan bermula pada jam 9 pagi dan 1 petang akan menyaksikan sebanyak 12 acara lumba perahu dipertandingkan.
Awang Salminan selaku Pengerusi Bersama Jawatankuasa Regata Brunei Darussalam menambah, di antara perlumbaan yang akan diadakan ialah Lumba Perahu Fiberglass Acara Khas 15 Pekayuh, Lumba Perahu Tradisi antara Kementerian-kementerian 25 Pekayuh, Lumba Perahu Fiberglass antara Institusi-institusi dan Pengajian Tinggi 15 Pekayuh, Lumba Perahu Fiberglass Belia-belia 30 Tahun ke bawah 15 Pekayuh dan 20 Pekayuh, Lumba Perahu Fiberglass Maktab-maktab dan Sekolah-sekolah Menengah 15 Pekayuh dan beberapa perlumbaan yang lain lagi.
Pada sidang media di Dermaga Diraja Bandar Seri Begawan itu juga, belia menyatakan bahawa pada tahun ini beberapa pembaharuan telah dibuat bagi memeriahkan lagi acara, antaranya litar yang akan digunakan adalah berbeza dari tahun yang sudah-sudah.
Tahun ini, Lumba Perahu 1000 Meter yang akan bermula dari Pusat Kesenian dan Kraftangan Brunei dan berakhir di hadapan Dermaga Diraja akan diadakan, sementara itu bagi Lumba Perahu 2000 Meter pula akan bermula dari Jambatan Raja Isteri Pengiran Anak Hajah Saleha dan berakhir di hadapan Dermaga Diraja. Manakala Lumba Perahu Maraton iaitu 5000 Meter pula akan bermula dari hujung Pulau Si Bongor dan berakhir di hadapan Dermaga Diraja.

Selain daripada itu penyertaan dari negara luar juga dilibatkan, di mana tiga buah pasukan dari Malaysia akan menyertai perlumbaan pada tahun ini, dua pasukan dari Lawas, Sarawak dan sebuah pasukan dari Wilayah Persekutuan Labuan. Selain daripada itu, China dan Indonesia masing-masing turut menghantar sebuah pasukan.
Sementara itu, bagi mengingatkan keselamatan para pengunjung ke acara tersebut, Pemangku Pengarah Bomba dan Penyelamat, Kolonel (B) Pengiran Haji Maiddin bin Pengiran Haji Said juga menekankan isu-isu keselamatan dengan mengingatkan orang ramai supaya mengambil langkah-langkah berhati-hati dan berwaspada ketika acara berlangsung khususnya kepada pengguna-pengguna perahu-perahu tambang.
Adalah dipohonkan kerjasama orang ramai terutamanya yang menggunakan perahu supaya tidak akan mengikuti, menghampiri atau melintas di tempat laluan perlumbaan semasa acara lumba perahu dijalankan bagi mengelakkan kejadian yang tidak diingini. Orang ramai diberi peringatan agar jangan sesekali meninggalkan barangan berharga di dalam kenderaan dan tidak sesekali memasuki tempat-tempat yang terkawal atau tempat-tempat yang terhad dan dilarang merosakkan harta benda kerajaan.
Pemangku Ketua Operasi Jabatan Siasatan dan Kawalan Lalu Lintas, Timbalan Penguasa Polis Hamri Aslan bin Haji Abu Hanafiah, pada sidang media tersebut juga memaklumkan bahawa tidak ada penutupan jalan akan dibuat. Jalan raya hanya akan dikawal selia oleh pihak polis iaitu di sepanjang Jalan McArthur berdekatan Dermaga Diraja.
Para pengguna jalan raya adalah dinasihatkan untuk merancang perjalanan dan jika perlu, membuat laluan alternatif apabila hendak memasuki pusat bandar.
Juga hadir bagi menerangkan mengenai aktiviti Bandarku Ceria pada hari tersebut, Timbalan Setiausaha Tetap (Bandaran dan Daerah), Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri, Awang Abdul Walid bin Haji Matassan, selaku Timbalan Pengerusi Bersama Jawatankuasa tersebut juga ingin memaklumkan kepada orang ramai bahawa aktiviti di Bandarku Ceria pada hari tersebut adalah terhad.
Aktiviti berbasikal di kawasan bandar hingga ke pusing keliling Jabatan Perdana Menteri ditiadakan bagi memudahkan orang ramai berkunjung ke pusat bandar. Sementara itu aktiviti berjaja hanya dibenarkan di sepanjang Jalan Pemancha dan Jalan Pretty sahaja.
Orang juga diingatkan agar sama-sama menjaga kebersihan khususnya di tepi-tepi jalan, taman-taman dan juga di tempat-tempat awam yang lainnya. Tong-tong sampah akan disediakan di kawasan-kawasan strategik di sekitar kawasan acara itu nanti bagi memudahkan orang ramai untuk menggunakannya dengan sebaiknya.
Bagi memberigakan kepada orang ramai, Pemangku Setiausaha Tetap, Kementerian Sumber-sumber Utama dan Pelancongan, Awang Wardi bin Haji Mohammad Ali mengalu-alukan kehadiran orang ramai ke acara tersebut dan menyeru kepada agensi-agensi pelancongan supaya membuat promosi mengenai acara ini secara meluas. Beliau juga menyeru kepada orang ramai khususnya rakyat dan penduduk di negara ini untuk bersama-sama hadir dan memeriahkan lagi acara itu nanti.
Selain daripada lumba perahu di acara Regata Brunei Darussalam, pameran juga akan diadakan pada hari tersebut di kawasan Dermaga Diraja.
Pemangku Kurator Etnografi, Jabatan Muzium-muzium, Haji Bahrin bin Haji Bolhasan menerangkan pameran tersebut adalah bertujuan menarik perhatian orang ramai terutama sekali generasi muda dalam memahami budaya tradisi lumba perahu di negara ini. Dengan itu ahli jawatankuasa mengucapkan berbanyak terima kasih di atas sokongan dan juga kerjasama yang diberikan oleh rakyat dan penduduk di negara ini bagi sama-sama menjayakan acara yang bersejarah dan penuh gemilang ini nanti.