Nina Iskandar jadi mangsa akaun palsu

Pelakon Nina Iskandar terkejut dan bengang apabila mengetahui dia menjadi mangsa pihak tidak bertanggungjawab bagi mencetuskan provokasi terhadap kerajaan Malaysia di Facebook.

Tegas Nina atau nama sebenar Nur Akmalina Iskandar, 29, perbuatan berkenaan dikhuatiri boleh menimbulkan salah faham orang ramai terhadapnya.

“Ini bukan saya, menggunakan kata-kata kesat, cakap macam-macam mengenai kerajaan Malaysia.

“Saya orang Brunei, saya tak pernah membabitkan diri dalam apa-apa perkara berunsurkan politik kerana saya tahu tak ada tempat untuk itu.

“Entah kenapa pihak tidak bertanggungjawab itu kena guna nama saya,” katanya menerusi Instastory.

Nina Iskandar bimbang jika pemilik akaun berterusan melakukan sesuatu diluar kawalan sehingga mencemarkan nama baiknya.

Pelakon drama Setelah Cinta Itu Pergi ini turut berkongsi paparan skrin status yang dimuat naik oleh pengendali akaun berkenaan.

Dia turut menerima beberapa laporan daripada peminat yang memaklumkan mengenai kewujudan akaun palsu itu.

Sementara itu, Nina meminta pengikutnya membantu melaporkan akaun tersebut kepada pihak Facebook.

Ini kerana dia bimbang jika pemilik akaun berkenaan berterusan melakukan sesuatu diluar kawalan sehingga mencemarkan nama baiknya.

“Saya dah sediakan pautan (link), anda perlu layangkan ke atas (swipe up) dan laporkan akaun ini.

“Tolong laporkan akaun itu sebelum jadi lagi teruk,” ujarnya. – Agensi