Nintendo Switch dilancar 3 Mac

NINTENDO, semalam, telah mengumumkan bahawa konsol Switch yang dinanti-nantikan akan dilancarkan pada 3 Mac depan di seluruh dunia dengan di Amerika Syarikat ia memasuki pasaran pada harga AS$299.99.

Box Nintendo Switch akan termasuk konsol, dua alat kawalan Joy Con, tali tangan, alat pengecas, dok, AC adapter dan kabel HDMI. Joy Con akan terdapat dalam tiga warna iaitu biru, merah dan kelabu.

Nintendo Swtich akan terdapat dalam dua varian, satu dengan alat Joy Con berwarna kelabu dan satu lagi dengan satu Joy Con berwarna merah dan satu biru.

Joy Con merupakan alat kawalan pengesan pergerakan yang dilengkapi sensor akselerometer dan giro. Apabila pengguna menggerakkan alat kawalan berkenaan, pengguna boleh membuat aksi dalam permainan. Menggerakkannya ke tepi boleh menggerakkan karakter dalam permainan dan mencontohi gerakan tumbukan boleh melaksanakan serangan dalam permainan.

Untuk mengetengahkan ciri-ciri ini, Nintendo juga telah mengumumkan beberapa tajuk permainan dan salah satu daripadanya dinamakan 1-2 Switch yang merupakan permainan co-op di mana dua pemain mengacukan Joy Con ke arah satu sama lain untuk bermain.

Nintendo Switch yang dinanti-nantikan akan dilancarkan pada 3 Mac depan.
Nintendo Switch yang dinanti-nantikan akan dilancarkan pada 3 Mac depan.

Permainan berkenaan memilih pemenang berdasarkan masa reaksi, jadi siapa yang bergerak paling pantas akan menang.

Satu lagi tajuk permainan yang diumumkan dinamakan sebagai Arms iaitu permainan pertempuran di mana setiap karakter mempunyai tangan yang boleh dipanjangkan untuk saling menumbuk.

Setiap pemain menggunakan dua Joy Con untuk menyerang, bergerak dan mempertahankan diri. Tali tangan pada setiap Joy Con penting bagi permainan ini jika pengguna mahu menggelakkan alat kawalan terhumban.

Bagi pemain tegar Zelda, mereka mungkin lebih teruja dengan pengumuman Legend of Zelda: Breath of the Wild yang juga akan dilancarkan bersama konsol berkenaan Mac depan.