NIOSH, IOSH jalin kerjasama

KUALA LUMPUR,16 Dis – Institut Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Negara (NIOSH) komited untuk membantu meningkatkan tahap keselamatan dan kesihatan pekerjaan di Malaysia melalui kerjasama dengan pertubuhan tempatan dan asing.

Dalam kenyataan hari ini, pengerusinya, Tan Sri Lee Lam Thye berkata sebagai contoh langkah NIOSH menandatangani memorandum kerjasama (MoC) dengan Institut Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (IOSH) United Kingdom pada Persidangan Tahunan Pertubuhan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Asia Pasifik ke-33 (APOSHO 33) di Hong Kong baru-baru ini.

“Di bawah MoC itu, kedua-dua pihak bersetuju untuk meningkatkan standard profesionalisme serta berkongsi maklumat dan pengetahuan tentang prinsip, kecekapan dan amalan terbaik yang meliputi pelbagai bidang dan isu utama OSH, termasuk kemalangan semasa berulang-alik ke tempat kerja, bekerja di tempat tinggi dan ruang terkurung,” katanya.

Menurut Lee, NIOSH dan IOSH akan bekerjasama dalam projek kepentingan bersama ke arah meningkatkan profesionalisme dan kecekapan anggota dan menghasilkan bahan latihan OSH yang sesuai untuk disampaikan ke seluruh Malaysia dan rantau ini, di samping menyediakan perundingan dan menjalankan penyelidikan.

“Kerjasama ini akan memberi manfaat kepada Malaysia kerana NIOSH juga akan mengundang pakar IOSH untuk membuat pembentangan dan menyertai acara NIOSH seperti seminar dan persidangan.

“Kami akan berganding bahu dalam bidang penyelidikan dan penyebaran demi manfaat sektor industri,” katanya. – Bernama