Nishikori bergelut ‘jinakkan’ Herbert

ROTTERDAM, Belanda 13 Feb – Pilihan utama Kei Nishikori diuji dengan pesaing hebat sebelum berjaya mengetepikan Pierre-Hugues Herbert 3-6, 6-1, 6-4 di Terbuka Rotterdam awal pagi tadi.

Pemain nombor tujuh dunia dari Jepun itu memerlukan satu jam 15 minit untuk menyaingi pemain yang sebelum ini mara ke final di Montpellier, kira-kira 48 jam selepas bertemu Jo-Wilfried Tsonga.

Pilihan kedua Karen Khachanov, juara Masters Paris pada November lalu, dikejutkan pemain wildcard dari Belanda Tallon Griekspoor, yang bangkit dengan 3-6, 6-3, 6-2 untuk menewaskan pemain dari Rusia itu.

Kekalahan itu membuatkan Khachanov gagal meraih sebarang kejuaraan di sini dalam ketiga-tiga percubaannya.

Sebaliknya kemenangan itu memberikan kejutan kedua buat pemain Belanda yang menduduki ranking 211 dunia, selepas menewaskan Stan Wawrinka untuk gelaran pertama di Jelajah ATP setahun yang lalu.

Nishikori ketika beraksi menentang Herbert dari Perancis dalam kejohanan Terbuka Rotterdam di Belanda, kelmarin. – AFP

Nishikori tidak menjangkakan aksi sulung yang sukar di Rotterdam ketika berdepan pemain ranking ke-36 dunia dari Perancis.

“Ia bukan sesuatu yang mudah. Dia bermain tenis dengan baik dan servisnya juga hebat,” kata Nishikori.

“Saya berdepan masalah untuk membalas pukulannya dan sukar mendapatkan mata penting.

“Saya cuba kekalkan rentak permainan kerana permainan saya tidak begitu teruk. Saya hanya perlu kekal agresif.”

Kemenangan itu membawa Nishikori kepada 9-1 pada musim ini selepas memulakan tahun ini dengan gelaran Brisbane dan tampil ke suku akhir Terbuka Australia.

Dia terpaksa menarik diri daripada perlawanan di Melbourne menentang Novak Djokovic pada set kedua akibat kecederaan lutut.

Nishikori kini akan berdepan Ernests Gulbis, yang menewaskan Marius Copil 6-2, 6-4.

“Dia bukan pesaing yang mudah, terutama pada saingan dalam dewan di mana dia menggunakan servisnya yang baik dan secara agresif bermain dengan baik,” kata Nishikori. – AFP