Thursday, April 18, 2024
25.3 C
Brunei

    -

    Nissan kembali catat keuntungan AS$284 juta

    TOKYO, 8 FEB – Pengeluar kereta Jepun Nissan kembali mencatat keuntungan untuk suku sehingga Disember, meskipun kekurangan cip komputer yang telah menjejas seluruh industri dan kebanyakan pengeluar lain.

    Nissan Motor Co., bersekutu dengan Renault SA dari Perancis, hari ini melaporkan keuntungan berjumlah 32.7 bilion yen (AS$284 juta) untuk fiskal suku ketiga, berbanding kerugian 37.8 bilion yen yang dicatat setahun lalu.

    Jualan suku merosot kepada 2.21 trilion yen daripada 2.22 trilion yen.

    Ketua Pegawai Operasi Nissan, Ashwani Gupta berkata pasaran kereta global telah merosot 18 peratus dalam jumlah disebabkan sebahagiannya kekurangan cip komputer berpunca daripada gangguan yang dikaitkan dengan pandemik.

    Jualan Nissan merosot 16 peratus, dengan jualan kukuh kenderaan kompak Note di Jepun dan kenderaan sport utiliti Pathfinder di Amerika Syarikat (AS).

    Nissan, berpangkalan di bandar pelabuhan Yokohama, menambah ramalan keuntungan tahun fiskalnya kepada 205 bilion yen, lebih baik daripada ramalan keuntungan 180 bilion yen sebelumnya.

    Ia mengekalkan ramalan jualan untuk tahun fiskal tidak berubah pada 3.8 juta kenderaan.
    Permintaan kukuh dalam pasaran AS menambah momentum kepada keputusan Nissan, menurut pengeluar kereta elektrik Leaf dan model mewah Infiniti.

    Ketua Eksekutif Makoto Uchida mengakui timbulnya ketidakpastian untuk suku akhir.

    “Dalam tahun fiskal 2021, kami telah mempertingkat prestasi perniagaan kami sepanjang tempoh sembilan bulan pertama dengan melancarkan kenderaan baharu, mempertingkat kualiti jualan kami dan meneruskan usaha kami untuk memastikan disiplin kewangan,” kata beliau. – AP

    Kenderaan elektrik baharu Nissan Motor, Ariya dipamerkan di bilik pameran di Ginza, Tokyo kelmarin. Nissan melaporkan keuntungan berjumlah 32.7 bilion yen untuk fiskal suku ketiga, berbanding kerugian 37.8 bilion yen yang dicatat setahun lalu. – AFP
    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Gempa bumi 6.3 magnitud di Jepun cederakan 8 orang

    TOKYO, 18 APRIL – Lapan orang dilaporkan cedera hari ini selepas gempa bumi berukuran 6.3 magnitud melanda barat daya Jepun, tetapi tiada kerosakan besar...