KUALA LUMPUR, 29 Mac – Nissan Leaf 2018 serba baharu, kenderaan elektrik terlaris dunia, meraih anugerah Kereta Hijau Terbaik Dunia di Pameran Auto Antarabangsa New York 2018.
Dalam kenyataan hari ini, Edaran Tan Chong Motor Sdn Bhd berkata Nissan Leaf merupakan ikon bagi Mobiliti Kepintaran Nissan – strategi wawasan syarikat dalam mengubah bagaimana kenderaan dikuasakan, dipacu dan disepadukan dengan masyarakat.
“Nissan Leaf adalah kenderaan elektrik (EV) pertama yang memenangi anugerah Kereta Hijau Terbaik Dunia sejak kategori itu diperkenalkan pada 2016 dan Nissan Leaf 2018 telah direka semula bagi generasi kedua,” menurut syarikat itu.

Edaran Tan Chong Motor berkata model tersebut boleh didapati di pusat pameran mulai hari ini.
Syarikat itu berkata, Nissan Leaf baharu itu menampilkan teknologi Mobiliti Kepintaran Nissan, yang termasuk Bantuan ProPILOT, e-pedal dan brek kecemasan automatik.
Naib Presiden Eksekutif bagi Pemasaran dan Jualan Global serta Perniagaan Kenderaan Sifar Emisi dan Bateri, Daniele Schillaci berkata: “Kami gembira sejak pelancaran Nissan Leaf pada 2010, kami dapat menjual lebih 300,000 kenderaan elektrik sifar emisi di seluruh dunia, sekali gus membantu mengurangkan kadar karbon di peringkat global.” – Bernama