Nissan luluskan pembaharuan

YOKOHAMA, JEPUN, 25 JUN – Pemegang saham Nissan hari ini meluluskan satu pembaikpulihan bertujuan memperkukuhkan pengurusan di pengeluar kereta Jepun, yang masih berpulih daripada skandal Carlos Ghosn dan ketegangan dengan rakan Perancis Renault.

Pemegang saham mengundi menyokong beberapa siri pembaharuan, termasuk penubuhan tiga jawatankuasa pengawasan baharu yang bertanggungjawab terhadap pelantikan pegawai kanan, isu gaji dan audit.

Mereka juga meluluskan pemilihan 11 pengarah tatkala firma menjalani penyusunan semula, di antaranya dua eksekutif Renault serta CEO Nissan sekarang Hiroto Saikawa. Pembaharuan bertujuan meletak Nissan pada platform yang lebih stabil selepas kejutan berpunca daripada penahanan bekas bos Ghosn atas pelbagai dakwaan salah laku kewangan.

Menambah kepada masalah operasi syarikat, keuntungan bersih merosot kepada tahap rendah dalam tahun perniagaan terakhir dan ia telah pun mengingatkan mengenai ‘persekitaran perniagaan yang sukar’ untuk tempoh 12 bulan akan datang.

Namun pelan pembaharuan hampir menemui kegagalan selepas Renault, yang memiliki 43 peratus daripada Nissan, mengadu ia tidak mempunyai kata pemutus dalam struktur baharu itu. Krisis berjaya dielakkan apabila Nissan mencadangkan pengerusi Renault Jean-Dominique Senard menganggotai jawatankuasa pelantikan, dan CEO Thierry Bollore dalam jawatankuasa audit. – AFP

Pemegang saham tiba untuk mesyuarat agung pemegang saham Nissan di Yokohama, berhampiran Tokyo kelmarin. Nissan berdepan dengan pemegang saham tatkala keuntungan dan jualan merosot selepas bekas pengerusinya menghadapi perbicaraan atas dakwaan salah laku kewangan. – AP