Nissan melabur untuk bangun kenderaan elektrik

YOKOHAMA, JEPUN, 28 NOV – Nissan melabur 33 bilion yen (AS$303 juta) di kilang kereta utama di wilayah Tochigi, Jepun untuk misi pertamanya dalam sistem pengeluaraAn bagi menghasilkan kenderaan elektrik.

Naib Presiden Eksekutif Nissan Motor Co., Hideyuki Sakamoto berkata kelmarin bahawa kaedah pembuatan perlu ditransformasikan mengikut kesesuaian kenderaan elektrik yang mempunyai enjin hibrid dan elektrik serta bahagian baharu untuk penyambungan dan perkhidmatan kecerdasan buatan. Sakamoto berkata perubahan sistem pengeluaran itu, yang akan siap pada tahun depan, menggunakan robotik dan sensor untuk mengurangkan tekanan fizikal kepada para pekerja.

Antara transformasi Nissan bagi sistem pengeluaran itu ialah ‘kilang pintar’ yang merupakan sistem pemasangan jana kuasa yang membolehkan sekurang-kurangnya 27 konfigurasi dipasang dalam satu-satu prosedur.

Bahagian-bahagian itu, termasuk bateri untuk kenderaan elektrik, disatukan pada satu ‘pallet,’ atau unit asas, untuk memudahkan pemasangan ke dalam kenderaan.

Satu lagi inovasi melibatkan pengaturcaraan keahlian seorang pekerja ke dalam sistem robot. Kelebihan sistem sedemikian membolehkan robot ini bekerja secara konsisten dan tahan lama, dengan mengekalkan kualiti pengeluaran, menurut Nissan.

“Daya saing sebuah pembuat kereta terletak pada pengeluaran, serta pembangunan reka bentuk dan teknologi,” kata Sakamoto kepada wartawan. – AP